IMBASAN kulit bagi memastikan masalah dan jenis rawatan sesuai.
Siti Zarinah Sahib

Melihat wajah di cermin, terdapat beberapa biji jerawat yang baru muncul. Lantas anda mulai bimbang kerana jerawat akan menyebabkan parut mudah kelihatan dan kulit kusam.

Dalam kalangan wanita, jerawat dan jeragat dua masalah utama yang memberi kesan kepada penampilan. Selain faktor usia, kedua-dua masalah ini juga disebabkan gaya hidup dan persekitaran.

Menurut Dr Ismaliza Ismail daripada Estetika Medispa, jerawat berpunca daripada hormon, pemakanan dan juga pemilihan produk yang tidak sesuai. Makanan berminyak, makanan laut, pedas, berkeju dan kekacang menjadi punca kepada masalah jerawat.

“Selain hormon, jerawat disebabkan gaya hidup yang tidak seimbang seperti amalan pemakanan makanan berminyak dan pedas, serta penggunaan produk yang tidak sesuai dengan jenis kulit. Jeragat pula berlaku disebabkan faktor penuaan, keturunan dan hormon terutama mereka yang baru melahirkan anak. Terlalu lama kulit terdedah kepada matahari juga menjadi punca jeragat,” katanya.

Bagi wanita yang menghadapi kedua-dua masalah ini, rawatan yang diberikan bergantung kepada masalah mereka. Sebelum diberikan sesi rawatan, mereka melalui imbasan kulit bagi melihat keadaan kulit. Terapi akan menilai punca masalah dan mengsyorkan rawatan sesuai. Kebanyakan rawatan di spa terbabit menggunakan mesin khas dan tidak meninggalkan kesan dan kesakitan berpanjangan.

“Bagi masalah jeragat pula, imbasan dibuat sebelum doktor memberikan ubat sesuai sama ada ia berkaitan hormon atau sebaliknya. Ramai pelanggan datang disebabkan salah menggunakan produk termasuk produk tiada pengesahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta bertemu dengan pakar yang tidak bertauliah.

“Wanita berisiko tinggi mendapat kanser kulit sekiranya menggunakan produk mengandungi merkuri. Hydroquinone sebenarnya langsung tidak dibenarkan dalam produk kecantikan walaupun sedikit kerana ia memberikan kesan jangka panjang yang tidak baik kepada kulit seseorang.

“Namun, kebanyakan produk yang tidak mendapat kelulusan KKM mengandungi bahan ini kerana ia memberikan kesan pantas yang diingini wanita,” katanya.

Terapi 45 minit

Bagi masalah jerawat dan jeragat, Estetika Medispa menggunakan mesin Oxycryo atau terapi oksigen pada kulit wajah bagi meremajakan semula sel kulit mati. Lama-kelamaan kulit menjadi segar dan sihat.

Teknologi berasal dari Korea ini semakin popular. Istimewanya kaedah rawatan ini kerana ia langsung tidak mendatangkan kesakitan, malah pelanggan berasa selesa dan tenang sepanjang 45 minit sehingga satu jam berlangsung.

Jelas Dr Ismaliza, sebelum mesin Oxycyro di letakkan pada kulit, kulit pelanggan akan dibersihkan terlebih dulu bagi membuang sisa kotoran. Ini bagi memastikan sepanjang 45 minit ia memberikan kesan sempurna seperti yang diinginkan.

“Mesin ini mengeluarkan oksigen yang memberikan nutrien pada sel kulit. Selepas kulit mendapat oksigen, peredaran darah berjalan lancar bersama sel baru yang sudah dibentuk ini. Selepas itu sapuan krim asid hyluronic akan menegangkan kulit seterusnya menjadikan kulit lebih bermaya dan segar,” katanya.

Percubaan kali pertama menjalani rawatan menggunakan mesin ini memberikan keselesaan kepada penulis. Apatah lagi ia sesuai dengan jenis kulit yang kusam dan tidak bermaya. Sepanjang 45 minit berlangsung, oksigen tulen yang diserap ke lapisan kulit memberikan rasa nyaman dan segar.

Ia langsung tidak mendatangkan ketidakselesaan atau kesakitan seperti kebanyakan rawatan yang menyentuh kulit atau menggunakan peralatan tertentu. Malah, penulis boleh berehat dan melelapkan mata seketika sambil wajah dibelai lembut, disertai kedinginan saat oksigen mengenai bahagian tertentu.

“Terapi oksigen sesuai untuk mereka yang bimbangkan kulit mengalami kesakitan atau kesan selepas menjalani rawatan. Selesai saja, anda sendiri akan merasai perbezaannya. Ia menjadikan kulit lebih lembut dan halus. Paling utama jelas kelihatan segar berbanding sebelum melakukannya,” katanya yang menggalakkan pelanggan datang dua kali seminggu untuk mendapatkan kesan optimum.

Jelasnya, dalam suasana persekitaran di tempat kerja, peranan terapi kecantikan sangat perlu bagi membantu wanita terutama Muslimah mengenai penjagaan wajah, sekali gus mengembalikan semula keyakinan mereka. Ia bukanlah bermakna setiap wanita harus memiliki kulit yang cantik dan cerah seperti yang sering diperkatakan, sebaliknya mendapat kulit bersih paling utama.

“Kulit bersih tanpa sebarang jerawat atau kesan jerawat, segar dan sihat akan menonjolkan penampilan diri anda. Solekan pula menjadi mudah dan anda akan kelihatan lebih menawan berbanding sebelumnya. Inilah peranan kami bagi membantu mengubah cara hidup terutama amalan pemakanan sihat, senaman dan tidak merokok.

“Paling penting pilih produk sesuai kulit yang disahkan KKM bagi mengelak bahan kimia merbahaya kepada kulit,” katanya yang beroperasi di Bandar Baru Bangi dan menyediakan perkhidmatan terapi kecantikan pada harga berpatutan.

Selain wajah, Estetika Medispa turut memberikan khidmat nasihat untuk pelangsingan badan pada mereka yang memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 5:17 AM