DARI kiri, Awie, Black, Eddie dan Joe.
Ridzuan Abdul Rahman


Kejayaan Wings sebagai kumpulan rock terunggul terbukti apabila menawan Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dan Padang B, Plaza Angsana, Johor menerusi siri Konsert Wings 30 Tahun pada tahun lalu.

Justeru, dengan tagline #getreadyborneosabahtatap, mereka kini mara untuk menawan Borneo pula menerusi Konsert Wings 30 Tahun Live yang akan berlangsung Stadium Likas Kota Kinabalu, Sabah pada 24 Disember ini.

Penganjuran kali ini turut menampilkan misi mulia mengangkat martabat golongan kurang upaya dengan menjadikan atlet paralimpik Sabah, Filicia Mikat sebagai ikon konsert.

Filicia, 17, yang berasal dari Kampung Kipaku Tambunan pernah mengharumkan nama negara apabila memenangi tiga pingat emas dalam acara olahraga 100m, 200m dan 400m dalam Sukan Para ASEAN ke-8 di Singapura, Disember tahun lalu.

Dia juga dianugerahkan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan 2015 pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2015.

Awie berkata, perancangan mengadakan konsert ini dibuat sejak enam bulan lalu dan persiapannya kini mencecah 60 peratus.

“Alhamdulillah, banyak pihak di sana menyokong konsert ini. Kami cuba bekerjasama dengan kerajaan negeri dan sekarang sedang berusaha mendapatkan kelulusan daripada Ketua Menteri Sabah.

“Buat masa ini, Menteri Belia dan Sukan Sabah sudah bersetuju untuk menjayakan konsert ini. Konsert anjuran KAMI Mutiara Global Sdn Bhd ini diadakan dengan kerjasama penuh Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri Sabah (PESRON) yang turut mengumpulkan atlet paralimpik negeri itu.

“Kami akan salurkan sebahagian jualan tiket ini kepada mereka dan ini sangat digalakkan oleh kerajaan negeri,” katanya pada sidang media yang diadakan.

Awie akan berangkat ke Sabah untuk bertemu Ketua Menteri dan berharap usaha mereka mendapat persetujuan.

“Persetujuan beliau akan membuka ruang untuk penyertaan tajaan. Kami berharap ada tajaan kerana perlu bawa banyak peralatan dari Kuala Lumpur dan kosnya sangat tinggi,” katanya.

Seperti konsert di Semenanjung, Wings juga menganjurkan program rombongan motosikal berkuasa tinggi (Sabah Big Bike Ride) bermula di Kota Kinabalu pada 15 Disember hingga 24 Disember meliputi Labuan, Keningau, Tawau, Sandakan dan Kundasang.

“Langkah ini perlu kerana peminat lebih suka bertemu kami sendiri dan membeli tiket konsert ini. Bagaimanapun, jalan di sana agak berbahaya dan kami dinasihatkan sentiasa berhati-hati.

“Konvoi ini membabitkan 16 motosikal dan Wings juga baru menubuhkan Wings Society. Kami akan membawa 10 motosikal berkuasa tinggi dari Semenanjung dan kosnya juga tinggi.

“Di sini pentingnya tajaan kerana konsert ini menelan belanja RM3 hingga RM5 juta,” katanya.

Awie turut meluahkan rasa bangga kerana selama tiga dekad ditubuhkan Wings sentiasa berusaha sendiri tanpa menunggu panggilan daripada penganjur.

“Setiap konsert kami akan gerakkan sendiri. Wings tunjukkan kebolehan dalam muzik dan syukur inilah kekuatan kami. Saya turut bersyukur kerana Allah kukuhkan persahabatan kami hingga kekal ke hari ini,” katanya.

Gitaris utama Wings, Joe, berkata, seperti dua konsert terdahulu mereka akan mengekalkan konsep ‘Back To 80’s’ iaitu mengembalikan kegemilangan dan nostalgia era rock tahun 80-an.

“Tenaga produksi, peralatan teknikal, sistem bunyi dan pencahayaan semuanya sama seperti yang digunakan untuk konsert di Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

“Meskipun konsert ini berlangsung pada malam sambutan Hari Natal, saya yakin ramai akan datang menonton persembahan kami. Apatah lagi kami akan menampilkan rangkaian lagu popular daripada album pertama hingga ke-17,” katanya.

Tiket untuk menonton dibahagikan kepada empat kategori iaitu RM35 (pelajar), RM50, RM250 dan RM1000 dan pembeli ‘early bird’ kategori RM250 berpeluang menghadiri sidang media kedua konsert ini di Kota Kinabalu pada 14 November nanti.

Pemegang tiket VIP RM1000 pula akan ditempatkan di kawasan ‘grandstand’ dan berpeluang menghadiri majlis ‘post party’ bersama Wings sebaik tamat konsert.

Konsert ini turut menampilkan Akim & The Majistret, Felix, Aweera, Estranged serta barisan artis tempatan Sabah iaitu Anugerah, Chromatic, Roktrus, D Shelter, Abu Bakar Ellah dan ramai lagi yang akan beraksi di Stadium Likas dari jam 1 petang sehingga tengah malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 10:02 AM
Skip this ad x