FOTO Arkib NSTP
Nursyahirah Marzuki


Cyberjaya: Golongan remaja dan belia yang berumur dibawah 24 tahun terutama lelaki yang mempunyai masalah menumpukan perhatian mempunyai risiko tinggi dalam penggunaan Internet secara berlebihan.

Pakar psikiatri Kanak-kanak dan Remaja Hospital Selayang Dr Norharlinar Bahar berkata, kajian yang dilakukan pihaknya mendapati majoriti remaja menggunakan Internet untuk melayari media sosial dan mendapatkan maklumat tertentu untuk dijadikan sebagai bahan rujukan.

"Malah, 18.9 peratus daripada mereka menggunakan Internet untuk bermain permainan secara dalam talian selain memuat turun lagu dan filem dengan hampir ke semua mereka mempunyai akses Internet di rumah masing-masing.

"Golongan yang mempunyai masalah untuk memberi perhatian dalam tempoh yang lama dan merasakan aktiviti dalam talian lebih menarik menjadi satu daripada faktor yang mendedahkan mereka dengan penggunaan Internet berlebihan," katanya pada sidang media selepas Persidangan Tahunan Masyarakat Antarabangsa mengenai Ketagihan Internet kali ke-5 (ISIA 2016) di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Kanan Bahagian Advokasi dan Jangkauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Eneng Faridah Iskandar.

Katanya, penggunaan Internet secara berlebihan mampu membawa keburukan sehingga menjejaskan tumbesaran mereka terutama dalam bidang akademi.

"Pelbagai masalah yang akan dihadapi remaja yang terdedah dengan penggunaan Internet berlebihan kerana mereka tidak boleh melakukan perkara yang sepatutnya dilakukan seperti ke sekolah.

"Selain itu, kajian di negara ini mendapati pelajar yang menggunakan Internet secara berlebihan dengan purata masa antara tiga jam ketika waktu persekolahan dan lima jam pada hujung minggu,' katanya.

Beliau yang juga Presiden ISIA 2016 berkata, persidangan itu membincangkan mengenai kepentingan usaha bersepadu dan kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk badan bukan kerajaan

(NGO) untuk membantu mengurangkan penggunaan Internet dalam kalangan masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 4:35 PM