Antara mesin judi yang dirampas. FOTO ihsan PDRM
Antara mesin judi yang dirampas. FOTO ihsan PDRM
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Polis Johor menahan 399 pemain judi dan 118 penjaga premis yang terbabit dalam pelbagai kesalahan membabitkan kegiatan perjudian haram di negeri ini, dalam tempoh seminggu sehingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tangkapan itu hasil daripada 106 serbuan yang dijalankan di pelbagai kawasan termasuk di 99 premis pusat hiburan keluarga (PHK) yang didapati menyalahgunakan lesen perniagaan.

"Semua yang ditahan berusia antara 21 hingga 60 tahun.

"Dalam serbuan itu juga, kita menahan 118 individu yang disyaki penjaga premis termasuk warga asing berusia antara 20 hingga 45 tahun.

"Kita turut merampas 1,321 mesin perjudian, komputer (27), tablet (14), komputer riba (46) dan wang tunai berjumlah RM38,307 serta Singapore Dolar $60," katanya.

Beliau berkata, operasi itu turut dilakukan bersama PBT di daerah Kota Tinggi, Kluang dan Segamat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 bagi setiap mesin judi atau penjara lima tahun atau kedua-duanya kepada pemilik premis, jika sabit kesalahan.

Manakala, katanya, pemain judi pula disiasat mengikut Seksyen 7(2) akta sama yang mana boleh dihukum penjara maksimum enam bulan dan denda sehingga RM5,000, jika sabit kesalahan.

"Orang awam disarankan menyalurkan maklumat dalam usaha membanteras judi dalam talian dan PHK yang menyalahgunakan lesen ini secara habis-habisan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2016 @ 2:44 PM