Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan bomba
Muhamaad Razis Ismail

Pasir Mas: Seorang lelaki maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki terbabas sebelum merempuh kedai runcit dalam kejadian di Kampung Galok, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 10.40 pagi, penumpang hadapan MPV itu, Wee Pheng Theng, 51, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Pemandu MPV itu, Ong Foo Kim, 44, yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Pasir Mas untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Ibrahim Saad berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Pasir Mas menghala ke Tanah Merah.

"Bagaimanapun, apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan MPV mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh kedai runcit yang berada di kiri jalan.

"Rempuhan kuat itu menyebabkan penumpang hadapan maut di tempat kejadian manakala pemandunya parah dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

Sementara itu Komander Operasi Wan Muhamad Wan Abdullah dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.58 pagi sebelum sebuah jentera bersama sembilan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kita dapati kedua-dua mangsa masih tersepit di dalam kenderaan terbabit.

"Kita mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2016 @ 5:34 PM