Azahar Hashim


Kulim: Tiga lelaki ditahan bersama sejumlah dadah, dua kereta mewah, dua pucuk pistol tiruan, wang tunai RM12,500 dan alat penimbang dalam serbuan di premis di Jalan Lebuh Bandar 1 Bandar Putra, Kulim, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Abdullah Arshad berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Balai Polis Kulim, pada 11.20 pagi.

Beliau berkata,tiga suspek ditahan itu berusia 29 hingga 45 tahun dengan ketiga-tiga mereka memiliki 28 rekod jenayah lampau.

"Hasil serbuan polis merampas heroin seberat 1,225.64 gram,angaran nilai RM25,739, syabu, 10.08 gram (RM1,500), dua pistol tiruan (Walther P99-Compact Air Soft Gun dan Military 2959-Air Soft Gun), dua kepin wang palsu bernilai RM50, dua kereta BMW, dua walkie talkie dan wang tunai RM12,500.

"Kita juga merampas pelbagai pakaian seragam polis, tali pinggang, sarung pistol dan tongkat polis," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, di sini, sebentar tadi.

Abdullah berkata, dua daripada yang ditahan dikehendaki polis kerana terbabit kes jenayah dan dadah. serta positif morfin.

Katanya, nilai dadah dirampas dianggarkan RM27,239 dan boleh menampung kira-kira 2,000 penagih.

"Semua tangkapan direman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2016 @ 6:09 PM
Abdullah (tengah) menunjukkan dua pistol tiruan serta pelbagai barangan termasuk dadah dan wang tunai yang dirampas dalam serbuan di premis di Jalan Lebuh Bandar 1 Bandar Putra, Kulim. FOTO Azahar Hashim