MAN Kidal (kiri) bersama Nash memegang piring hitam album Keadilan yang dilancarkan, baru-baru ini.
LEFTHANDED punya aura tersendiri sejak mula ditubuhkan hingga hari ini.
Payatt
riadz@hmetro.com.my


Selepas Black Sabbath minggu lalu, kali ini saya ingin bercerita mengenai band rock tempatan pula. Ketika ramai meletakkan Search dan Wings sebagai band rock nombor satu tanah air yang terus bertahan hingga hari ini, nama Lefthanded tidak wajar diketepikan.

Ketika era kegemilangan muzik rock tempatan pada pertengahan 1980-an, Lefthanded yang ditubuhkan di Johor Bahru pada 1979 turut diiktiraf sebagai band rock nombor satu tanah air seiring dengan Search waktu itu.

Secara kebetulan dua anggota Lefthanded iaitu pengasasnya yang juga pemain gitar, Man Kidal dan Yan (bass) pernah bersama Search dalam album sulung mereka Cinta Buatan Malaysia pada 1985.

Apabila mereka kembali bersama Lefthanded dan muncul dengan album sulung, Keadilan setahun selepas itu, peminat rock mula membandingkan kehebatan Man Kidal dengan pemain gitar Search ketika itu, Hillary Ang.

Man Kidal juga diingati dengan aksinya bermain gitar menggunakan gigi!

Album Keadilan yang dipasarkan pada 1986 juga antara yang paling diingati peminat rock tempatan hingga hari ini.

Lagu dalam album berkenaan seperti Keadilan, Tiada Lagi Kidungmu, Debunga Wangi, Ku Kehilangan Cinta Tiga Dimensi dan Lagenda Cinta berjaya mengangkat nama Lefthanded ke tahap yang mereka sendiri tidak pernah bayangkan.

Siapa sangka sempena ulang tahun ke-30 album itu tahun ini, ia kembali dihasilkan dalam format vinyl atau piring hitam oleh Dream Studio yang dipasarkan sejak semalam.

Piring hitam yang dicetak di Australia itu terhad kepada 500 keping saja dan dijual dengan harga RM155 setiap satu. Daripada jumlah itu, 100 adalah edisi terhad bernombor berserta poster eksklusif Lefthanded.

Penyanyinya, Nash ketika ditemui berkata, usaha dan inisiatif yang dilakukan Dream Studio itu wajar diberi pujian dan dia sendiri amat teruja.

“Ketika album itu dipasarkan, kami (Lefthanded) sendiri tidak diberikan piring hitam oleh syarikat rakaman Warner Music. Waktu itu, syarikat rakaman hanya mencetak piring hitam untuk diberikan kepada stesen radio saja.

“Jadi, apa yang dillakukan Dream Music ini amat saya hargai. Ia mengimbau semula nostalgia lama dan kami terasa muda kembali, seperti 30 tahun yang lalu,” katanya.

Pengaruh besar Ramli Sarip

Apabila bercerita mengenai album ini, pastinya orang paling layak bersuara ialah Man Kidal selaku pengasas dan penggerak Lefthanded sejak mereka mula bermain di kenduri kahwin di sekitar Johor hinggalah sekarang.

Man Kidal berkata, sekitar 1985 mereka bermain di kelab Hard Rock Cafe dekat Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur menggantikan Search yang ketika itu sudah melahirkan album sulung mereka.

“Ketika itulah kami didatangi Ramli Sarip (kini Datuk) dan kakitangan A & R Warner Music, Naseer Abu Kassim yang menawarkan kontrak rakaman.

“Kami memang teruja dan pada masa sama agak bimbang. Ini kerana kami tidak biasa bermain lagu baru terutama lagu Melayu. Pengalaman bermain di kelab membuatkan kami lebih selesa dengan lagu Inggeris,” katanya.

Ketika itu, Lefthanded juga memang sudah dikenali kerana terbabit dengan rakaman dua album kompilasi Battle of the Bands setahun sebelum itu bersama Bloodshed, SYJ, Ella & The Boys dan Rahim Maarof & Whitesteel.

Dalam dua album berkenaan, mereka membawakan empat lagu iaitu Debunga Wangi, Lanun, Kenangan Bersamamu dan Tuduhan.

“Lefthanded sebenarnya berterima kasih kepada Ramli yang banyak membantu kami. Selain sebagai penerbit, Ramli banyak mencipta lagu serta menggubah muzik bersama-sama kami.

“Kami juga banyak mengiringi persembahan solo Ramli ketika itu. Jadi, siapa yang tidak teruja apabila Ramli yang popular sebagai penyanyi Sweet Charity datang menawarkan kontrak rakaman? Tambahan pula Sweet Charity adalah antara band yang banyak memberi pengaruh muzik kepada Lefthanded, “katanya.

Man Kidal berkata, album itu dirakam di Studio Booty, Kuala Lumpur dan Roslan Aziz sebagai jurutera bunyi.

Walaupun baru, mereka tidak ada masalah di dalam studio kerana Lefthanded bermain muzik di kelab hampir setiap hari. Lagipun mereka berpengalaman memasuki studio rakaman untuk album Battle of the Bands sebelum itu.

“Kerana sudah biasa bermain muzik, kami tidak ada masalah untuk mendapatkan ‘feel’. Bersama Ramli, kami menggubah lagu yang dihasilkan sehinggalah siapnya album Keadilan,” katanya.

Menurutnya, selain Sweet Charity, Lefthanded menjadikan band luar sebagai rujukan antaranya Deep Purple, Michael Schenker Group, Van Halen, Yngwie Malmsteen dan Loudness.

Tak sangka Tiada Lagi Kidungmu meletup!

Seperkara lagi, apa yang menarik mengenai album Keadilan ialah mereka tidak menyangka lagu Tiada Lagi Kidungmu dan Ku Kehilangan Cinta Tiga Dimensi menjadi popular. Ini kerana mereka mempertaruhkan lagu Debunga Wangi yang sebelum itu memang sudah dikenali peminat.

“Mungkin ada yang tidak tahu Tiada Lagi Kidungmu ialah lagu ‘cover’. Penyanyi asalnya ialah penyanyi Indonesia iaitu Jack Marpaung. Kami rakam semula dan gubah kembali muziknya menjadi rock. Tak sangka pula ia terus menaikkan nama Lefthanded dan lagu itu terus ‘evergreen’ hingga hari ini,” kata Man Kidal.

Selain Man Kidal, Nash dan Yan, dua lagi anggota Lefthanded ialah Samad (gitar) dan Man Dayak (dram).

Selain Keadilan, anggota inilah yang menghasilkan album terbaik Lefthanded seterusnya seperti Seruan pada 1987, Qabul (1988) dan Evolusi (1989).

Bagaimanapun, Samad yang juga antara pemain gitar terbaik tempatan meninggal dunia pada 23 Oktober 2008, manakala Man Dayak pada 15 Mac lalu.

Sebelum mereka merakamkan album, Roy, Rahim Maarof dan Hamid pernah menjadi penyanyi Lefthanded. Selepas Nash meninggalkan Lefthanded pada 1990, Ramli Sarip menjadi penyanyi sementara dan tampil dengan album Fanatisme pada 1991, manakala Arab direkrut sebagai penyanyi dalam album ‘live’ Nafas pada 1996.

Selain itu, ketika merakamkan album Seruan, mereka menambah seorang pemain keyboard iaitu Isa.

Belum ada album sudah popular

Bercerita mengenai sejarah awal Lefthanded, Man Kidal tidak dapat melupakan ketika mereka terbabit dalam Konsert Sidang Rock di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 1983 bersama Kembara, The Unwanted, Headwind dan Allahyarham M Shariff.

“Waktu itu kami belum merakamkan album dan hanya bermain di konsert kecil serta kenduri kahwin. Dalam konsert itu, kamilah paling kerdil. Bagaimanapun, ketika konsert berlangsung persembahan kami paling mendapat sambutan.

Malah, kami turut mendapat pujian dan ulasan baik daripada media selepas itu,” katanya.

Man Kidal berkata, antara ulasannya ialah Lefthanded dikatakan sebagai band yang berbeza dengan gaya persembahan yang menarik. Tambahan pula mereka tampil dengan gaya rocker yang ketika itu mula menjadi ikutan selain tampil dengan pelbagai gimik rock!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2016 @ 5:03 AM