Pistol , peluru dan parang yang ditemui daripada penjenayah yang ditembak mati di Jalan Ayer Tawar, Sitiawan, pagi tadi. FOTO Muhammad Apendy Issahak
Muhammad Apendy Issahak

 

Ipoh: Penjenayah yang berjaya ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan dengan polis di di Jalan Ayer Tawar, Sitiawan pernah ditangkap serta dihukum atas beberapa kesalahan jenayah termasuk dadah dan mencederakan orang dengan senjata.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Gan Tian Kee berkata, suspek berusia 29 tahun itu mempunyai lima rekod jenayah lampau selain dikehendaki kerana kes cubaan membunuh dengan melepaskan tembakan di Ayer Tawar dua tahun lalu.

Menurutnya, dalam insiden 3.15 pagi tadi suspek dikesan sepasukan pegawai dan anggota polis yang membuat rondaan cegah jenayah di pekan Ayer Tawar dalam sebuah kereta Proton Waja yang dalam keadaan mencurigakan.

"Suspek yang menyedari kehadiran polis bertindak memecut laju kenderaannya sebelum dikejar pasukan polis dan sebaik tiba kawasan berhampiran Kampung Baru Simpang Lima, kereta suspek terbabas di kiri bahu jalan.

"Penjenayah itu bertindak keluar dari kereta dan melepaskan tembakan dan polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan yang mengenai suspek," kataya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap suspek menemui pistol jenis Luger 9mm dan lima peluru serta sebilah parang.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2016 @ 3:18 PM