Kuala Lumpur: Lebih 200 pencinta aktiviti `outdoor’ bakal berhimpun dalam program Percutian Secara Karavan dan Perkhemahan di dalam Bandar (#Caracamp) di Lanai, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), di sini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Rashidi Hasbullah, berkata #Caracamp akan diadakan pada 12 dan 13 November.

Katanya, #Caracamp bertujuan mempromosi Kuala Lumpur sebagai destinasi sesuai untuk aktiviti `outdoor’ seperti perkhemahan, karavan dan pengembaraan menggunakan jalan darat.

"Sepanjang #Caracamp, peserta berkhemah dua hari satu malam dan menyertai pelbagai aktiviti menarik.

“Antaranya demonstrasi berkaitan perkhemahan, karavan serta 'survival adventure', dan acara Unggun Api bersama 'Tetamu Misteri'," katanya dalam sidang media #Caracamp, di sini, hari ini.

Rashidi berkata, pihaknya bercadang menjadikan aktiviti perkhemahan itu sebagai aktiviti bulanan di Matic.

#Caracamp, yang julung kali diadakan di ibu kota, adalah anjuran Persatuan Industri Karavan dan Perkhemahan Malaysia dengan kerjasama Matic, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia dan swasta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2016 @ 10:16 PM
FOTO Bernama
FOTO Bernama