IHSAN pembaca Harian Metro
Siti Nadhirah Che Mud


Machang: Wanita maut manakala suami dan dua anak lelakinya cedera, seorang daripadanya parah dalam kemalangan di Kilometer 27.7 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, dekat Merbau Chondong, di sini.

Nur Azreen Rasali, 29, terbunuh di lokasi dalam kemalangan, pada kira-kira 6 petang, 8 Oktober.

Suaminya, Muhamad Abdul Hakim Mohd Zin, 29, cedera.

Dua anak lelaki mereka berusia lima tahun parah manakala anak berusia tujuh tahun cedera.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Ab Ghani, berkata keluarga berkenaan yang menaiki Perodua Kancil dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Kota Bharu.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu suami mangsa hilang kawalan, terbabas dan melanggar jentera berat dipandu lelaki yang berhenti di tengah jalan untuk membelok ke jalan Pulai Chondong.

"Akibat rempuhan kuat, penumpang hadapan kereta meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu dan penumpang belakang yang cedera dibawa ke hospital Machang untuk rawatan lanjut. Pemandu jentera berat tidak cedera," katanya, di sini.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2016 @ 11:54 PM