MAMPU capai kelajuan hingga 320km/j.
Lizam Ridzuan


Bukan sahaja untuk pemanduan prestasi pada hujung minggu malah sesuai untuk kegunaan dalam kehidupan harian ditawarkan oleh model Ferrari GTC4Lusso T yang dilancarkan Naza Italia Sdn Bhd, baru-baru ini.

Diperkenalkan untuk pasaran tempatan pada masa yang sama dipertontonkan di Pameran Motor Paris 2016, ia adalah model konsep Grand Tourer empat tempat duduk pertama daripada Ferrari yang ditawarkan untuk pasaran tempatan.

Dikuasakan dengan enjin pengecaj turbo V8 3.9 liter, ia mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 610cv pada 7,500rpm dan tork sehingga 760Nm pada 3,000 hingga 5,250rpm dengan kelajuan maksimum 320 kilometer sejam.

Ruang dalaman menggabungkan elemen sporty dan keselesaan sebuah model GT dengan tempat duduk selesa serta rekaan papan pemuka berkembar dan sistem informasi serta hiburan yang dipaparkan pada skrin definisi tinggi (HD) 10.25 inci.

Selain itu ciri keselamatan ditawarkan untuk pemanduan dinamik seperti Kawalan Gelinciran Sisi (SSC3) dan Pengendalian Roda Belakang (4WS) memberikan respons segera ketika melalui selekoh untuk kendalian yang lebih mantap.

Selain memenangi Anugerah Enjin Tahunan 2016 Antarabangsa melalui enjin V8, ia juga menawarkan bunyi berkuasa ketika memecut dan lebih perlahan ketika kelajuan rendah serta tork yang versatil bagi sebarang kelajuan.

Ketua Pegawai Operasi Naza Italia, Farid Sulaiman berkata, tempahan untuk model itu kini dibuka dan menjangkakan bakal berada di pasaran tempatan sekitar suku tahun pertama 2017.

“Enjin V8 dengan 3.9 liter menawarkan harga dan kadar cukai lebih rendah berbanding satu lagi varian V12 yang ada di pasaran antarabangsa dan ini memberikan harga lebih kompetitif untuk pembeli di Malaysia,” katanya.

Model itu bakal memberi lebih pilihan kepada mereka yang gemarkan jenama mewah dengan gabungan prestasi dan keselesaan berserta dengan ciri pemanduan dinamik dan keselamatan terbaik ditawarkan.

Harga jualan asas untuk Ferrari GTC4Lusso T ialah RM1.1 juta dengan waranti tiga tahun daripada pengeluar dan opsyen binaan khas ditawarkan kepada pembeli.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2016 @ 5:01 AM