UZAIR melatih Raikkonen memandu kereta bomba.
RAIKKONEN dan Uzair dalam program ‘Job Swap by Shell.’
Lizam Ridzuan

Bayangkan pemandu kereta Formula Satu (F1) mengambil alih tugas ahli bomba dan itulah yang berlaku baru-baru ini pada Kimi Raikkonen sempena perlumbaan Grand Prix F1 di Malaysia.

Cabaran itu disediakan buat pemandu pasukan Scuderia Ferrari itu dalam program ‘Job Swap by Shell’ dengan bertukar kerjaya bersama Mohd Uzair Abdullah yang berkhidmat sebagai anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia dengan memandu trak pemadam api sepanjang 8.5 meter.

Raikkonen yang juga dikenali sebagai ‘The Ice Man’ memandu jentera seberat 18 tan sambil beliau ditugaskan untuk memadam api di kawasan litar binaan khas di Senawang.

Menurut Raikkonen, dia akui sukar memandu jentera berat itu dan jika terlalu laju akan menyebabkan kenderaan terbabas tetapi hasil tunjuk ajar daripada Uzair, beliau berjaya melaksanakan cabaran itu dengan baik.

“Kenderaan ini berbeza dengan Ferrari yang sering saya pandu dan saya akui, mereka yang memandu kenderaan ini mempunyai kepakaran dan kemahiran yang luar biasa,” katanya ketika acara itu.

Uzair pula berpeluang memandu Ferrari California T yang dikuasakan dengan enjin 3,855cc V8 turbo di litar yang disediakan untuk merasai pengalaman di dalam jentera berprestasi tinggi itu.

Beliau rasa bertuah dapat belajar kemahiran memandu daripada pemandu F1 terkemuka seperti Raikkonen terutama ketika memandu di selekoh pada kelajuan tinggi memberinya pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

“Raikkonen mengajar saya teknik dengan mengutamakan keselamatan ketika pemanduan dan bidang kerjaya kami hampir sama walaupun cabaran yang berbeza di litar F1 untuk perlumbaan dan jalan raya untuk bantuan menyelamatkan atau memadam kebakaran,” katanya.

Shell menjadi rakan inovasi bersama Scuderia Ferrari lebih 60 tahun yang membolehkan mereka menguji bahan api Shell V-Power ke tahap maksimum yang diformulasi hasil kajian bagi melindungi dan membersihkan enjin untuk penjagaan serta prestasi jangka masa panjang.

Program seperti ini sebagai cara unik untuk kajian dan pembangunan dalam sukan permotoran bagi menghasilkan petrol yang berkualiti bukan sahaja sesuai untuk prestasi tinggi juga untuk kegunaan di jalan raya biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2016 @ 5:01 AM