TRAILBLAZER dilengkapi enjin Duramax 2.8L.
LALUAN lasak mudah diredah Colorado.
KAWALAN kerangka dan suspensi yang dipertingkatkan.
METER kelajuan.
TOMBOL gear.
RUANG dalaman luas untuk Trailblazer.
CIRI telefon pintar untuk Apple CarPlay dan Android Auto.
Nabil Basaruddin yang mengikuti sesi pandu uji Chevrolet di Cebu dan Filipina

Jenama Chevrolet yang mula menempa populariti pada 1918 kini muncul dengan model terbaru pada September 2016 iaitu Chevrolet Colorado dan Trailblazer yang dilihat berpotensi untuk menerajui pasaran dalam kelasnya tersendiri.

Pengeluar automotif naungan kumpulan General Motors itu terus membina reputasi kukuh dalam mewujudkan pasaran trak pikap dan SUV terbaik bagi pelanggannya di seluruh dunia dengan menawarkan ciri kekuatan, reka bentuk dan keupayaan bagi bersaing dengan jenama lain.

Bagi pasaran rantau Asia Tenggara, Chevrolet Trailblazer mula dilancarkan di Thailand pada 2012 dan sehingga generasi keduanya, berjaya mencapai jualan kira-kira lebih 16,000 unit. Selain itu, model terbabit juga berkongsi lokasi pengeluaran dengan trak pikap Colorado yang terletak di Rayong, Thailand menerusi enjin turbo diesel 2.5L atau 2.8L.

Bagi penggemar trak pikap, Chevrolet Colorado dijanakan dengan enjin diesel turbo empat silinder Duramax 2.8L yang dipertingkatkan sekali gus menjanjikan prestasi pemanduan lebih baik dan bahan api lebih ekonomikal.

Kesempatan penulis memandu uji model Colorado di Cebu, Filipina. baru-baru ini membuktikan pemanduannya di jalan biasa atau lebuh raya sangat lancar apatah lagi ketika mahu memintas kenderaan lain tanpa perlu menekan pedal dengan agresif dibantu oleh enjin yang menghasilkan kuasa 147kW (200PS) dengan tork 500 Nm.

Sementara itu, varian enjin diesel turbo empat silinder Duramax 2.5L yang dipertingkatkan, turut mendapat kelebihan daripada pengecas turbo geometri boleh ubah (VGT) yang berupaya memberikan kuasa 132kW (180PS) dan tork 440Nm, manakala enjin diesel turbo empat silinder Duramax 2.5L (FGT) bernilai tinggi masih boleh didapati pada model spesifikasi lebih rendah dipadankan dengan transmisi manual.

Paling mencuri tumpuan bagi model kali ini adalah kecanggihan teknologi yang ingin ditampilkan lantas menjadikan ia lebih premium iaitu kemudahan sambungan bagi telefon pintar iaitu Apple CarPlay dan Android Auto.

Selain itu, ia juga dilengkapi perisian pengecaman suara dan Siri Eyes Free, membolehkan pemandu memberikan arahan tanpa perlu meninggalkan stereng sewaktu pemanduan berjalan serta kenderaan dinamik dengan sambungan ‘remote start’ untuk menghidupkan enjin dari luar kenderaan.

Trak pikap Colorado juga melalui ujian pemanduan lebih 360,000 kilometer (km) sewaktu pembangunan dijalankan bagi menghasilkan kenderaan pikap lebih tahan, serta ujian lain yang bersamaan dengan jarak 12,000,000km.

Antara perubahan ketara pada trak pikap Colorado adalah kawalan badan dan suspensi yang dipertingkatkan untuk berdepan pemanduan dalam pelbagai jalan mencabar di rantau ini selain perubahan teknologi peredam, peningkatan perkakasan dan kadar spring bagi menyediakan lebih kawalan.

Pengenalan stereng kuasa elektronik (EPS) pada model spesifikasi tinggi mewujudkan rasa yang lebih responsif, memberikan pemandu peningkatan kepercayaan dalam mengendalikan kenderaan berkenaan.

Sementara itu, bagi model baru Trailblazer, ia didatangkan dengan pilihan enjin diesel turbo empat silinder Duramax 2.8L yang mematuhi Euro4 bagi menghasilkan prestasi luar biasa, penggunaan bahan api berekonomi dan kurang pembebasan karbon.

Pemanduan Trailblazer dikuasakan oleh VGT menghasilkan kuasa 147kW (200PS) dan tork 500Nm manakala model lain dengan enjin 2.5L menawarkan manfaat VGT dengan kuasa 132kW (180PS) dan tork 440Nm. manakala enjin diesel turbo empat silinder Duramax 2.5L (FGT) bernilai tinggi masih boleh didapati pada model spesifikasi lebih rendah dipadankan dengan transmisi manual.

Pada masa sama aspek keselamatan terus menjadi keutamaan bagi Trailblazer baru ini yang mana ia dilengkapi kelebihan seperti Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Sistem Brek Antikunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Brek Bantuan Panik (PBA), ‘Hill Descent Control’ (HDC), Bantuan Mula Bukit (HSA), Anti-Rolling Protection dan Trailer Sway Control. Ia adalah tambahan pada beg udara di hadapan bagi pemandu dan penumpang bersama dengan beg udara pemandu di bahagian lutut.

Ciri lain yang didatangkan dengan kecanggihan teknologi adalah Zon Amaran Pandang Sisi, Amaran Trafik Belakang, Amaran Lorong Berlepas, Bantuan Parkir Depan dan Belakang serta Sistem Pemantauan Tekanan Tayar.

Menjadikan ia lebih luar biasa, enjin boleh dihidupkan tanpa perlu masuk ke kenderaan dan ini membolehkan ruang kenderaan disejukkan sebelum dimasuki oleh pemandu serta penumpang.

Setakat ini, General Motors International (GMI) masih belum mengumumkan harga bagi Chevrolet Colorado dan Trailblazer kerana harganya berbeza mengikut pasaran di rantau Asia Tenggara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2016 @ 5:02 AM