Sofiatul Shima Wan Chik


Berbaju putih polos dipadankan dengan denim biru, Nicholas Saputra, 32, sebenarnya cukup santai. Dia lebih banyak senyum dengan matanya yang berwarna coklat berbanding bicara tetapi apabila berada di lokasi, dia bertukar menjadi aktor yang serius.

Baik di lokasi mahupun ketika temuramah, dia memang serius. Malah pelakon yang dikenali melalui filem Ada Apa Dengan Cinta (AADC) itu tidak suka digelar selebriti.

Bagi Nicholas, tugas dan tanggungjawabnya semata-mata menjadi aktor dan dia cukup profesional apabila bekerja.

Selepas kembali dengan watak Rangga dalam sekuel AADC yang ditayangkan di pawagam tempatan April lalu, lakonan Nicholas atau Nico kini dapat disaksikan dalam filem Interchange.

Dalam filem arahan Dain Said dan diterbitkan Apparat Films itu, Nicholas memegang watak unik sebagai Belian.

Nico dan Dain Said baru-baru ini kembali ke lokasi penggambaran filem itu untuk fotografi dan temuramah eksklusif bersama Selebriti, Metro Ahad.

Dalam filem ini, Nico diberi tanggungjawab menjiwai tiga karakter yang digabungkan menjadi satu. Dia membawa watak mistik merangkumi separuh manusia, separuh burung dan separuh lagi semangat tetapi Interchange bukan filem hantu.

Katanya, bukan mudah untuk membawa watak itu kerana harus datang tiga jam lebih awal daripada orang lain untuk proses solekan.

“Belian bukan sahaja disolek pada wajahnya tetapi keseluruhan badannya,” katanya.

Nico berkongsi satu kejadian ketika di lokasi. Selepas dua minggu dalam balutan solekan dan karakter Belian, tubuhnya tidak mahu menerima transformasi itu.

“Selepas dua minggu di set dan setiap hari badan saya digam dan disolek, satu hari ia menolak semua itu. Gam tidak melekat. Mungkin ketika itu badan saya sudah penat kerana saya disolek hampir empat jam setiap hari,” katanya yang menjalani penggambaran selama 20 hari.

Untuk watak separuh manusia dan separuh burung, sambil ketawa mengingat kenangan itu, Nico bersyukur dengan pengalaman masa kecilnya hingga dibawa dalam wataknya.

“Mengenai pergerakan burung yang saya lakukan, teringat masa kecil saya sering melihat 20 ekor ayam yang dibela keluarga. Syukurlah kerana saya memang menyayangi haiwan,” katanya.

Ini kali pertama Nico bekerjasama dengan produksi filem Malaysia dan menganggap bekerja dengan Dain sebagai pengalaman sangat menarik. Dia sangat selesa bekerja dengan Dain.

Belian diambil namanya sempena kayu di Borneo, adalah perjalanan menarik buat Nico dan menyifatkannya sebagai karakter unik.

Nico juga belajar menguasai bahasa Melayu, loghat Sarawak dan bahasa suku Kenyah. Untuk proses itu, dia belajar dengan seorang guru supaya tidak tersasar dan dapat melantunkan kata-kata dengan lancar.

“Bagi saya, filem ini sangat menarik kerana jalan ceritanya jarang atau tidak pernah dilihat dalam mana-mana filem sebelum ini. Visualnya juga menarik.

“Apatah lagi saya berkesempatan bekerja dengan pelakon hebat Malaysia, membuatkan saya tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini.

“Menjadi harapan saya supaya penonton datang ke pawagam untuk mengalami pengalaman cerita ini. Ia mempunyai gabungan kehidupan moden sekarang tetapi turut memaparkan akar umbi budaya serta kepercayaan,” katanya.

Pastinya penonton di Malaysia tidak sabar untuk menyaksikan lakonannya dalam filem ini. Bagaimanapun, jauhkan bayangan lalu terhadap karakter yang pernah dibawa Nico cukup melekat dalam minda.

Ia mengisahkan detektif (Shaheizy Sam) dan juru gambar forensik, Adam (Iedil Putra), menyelesaikan kes pembunuhan aneh. Sambil mengumpul bukti, Adam banyak mengambil gambar jirannya, perempuan Kalimantan bernama Iva (Prisia Nasution).

Adam mulai menyukai Iva tetapi keadaan itu membawanya lebih dalam dalam kes yang disiasat hingga akhirnya menemukan makhluk supernatural, Belian (Nicholas Saputra) yang muncul dari tahyul kuno.

Temui penonton pada 1 Disember

Dain Said yang sebelum ini menghasilkan Bunohan, berkongsi cerita mengenai pengalamannya bekerja dengan Nicholas dalam Interchange.

Katanya, dia tidak pernah mendapat peluang untuk mengatakan perkara ini tetapi hari ini mahu menyatakannya kepada Nicholas atau Nico.

“Saya tidak sempat memberitahu Nico betapa cantiknya kemunculan Belian dalam Interchange. Setiap hari saya diselubungi rasa takut ketika Belian diikat ke atas dan mengatakan hati saya ialah mulut saya.

“Semua kru dan tenaga produksi terdiam melihat transformasi yang berlaku terhadap Belian. Betapa menariknya setiap pergerakan yang dilakukannya.

“Saya tidak tahu bagaimana Nico melakukannya tetapi sangat berterima kasih terhadap komitmen yang diberikan,” katanya.

Dain yang sering tampil dengan kelainan dalam karyanya akui penat melihat filem-filem sekarang yang banyak paparkan aksi wanita dipukul dan dipergunakan.

Katanya, Interchange wujud sewaktu dia dalam proses kajian untuk filem Dukun. Ketika itu dia terjumpa gambar yang mempamerkan 20 wanita sedang membasuh kaki mereka.

“Di bawah gambar itu tertulis perkataan ‘wanita membasuh diri mereka dari efek jahat selepas diambil gambar’. Kemudian saya dapati gambar yang diambil oleh jurugambar dari Norway itu sangat menarik,” katanya.

Penggambaran filem ini mengambil masa selama 36 hari di sekitar Kuala Lumpur. Proses pra produksi dilakukan selama sebulan untuk mencari lokasi.

Dain akui sukar untuk mendapatkan lokasi mengikut kemahuannya terutama lokasi dalam bandar. Kini Interchange bersedia menemui penonton tempatan apabila ditayangkan di pawagam mulai 1 Disember depan.

Ia terlebih dahulu ditayangkan di Festival Filem Locarno disaksikan 5,000 penonton kemudian di Festival Filem Antarabangsa Toronto.

Filem ini menggandingkan pelakon Malaysia dan Indonesia seperti Shaheizy Sam, Iedil Putra, Nadiya Nissa, Nicholas Saputra dan Prisia Nasution.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2016 @ 5:05 AM