JURULATIH, Shaukat yang banyak memberi tunjuk ajar kepada Lydia dan Emman.
AKSI Emman yang sangat mengujakan.
LYDIA diserang Greg Glorious.
LYDIA (kiri) menyerang Emman semasa latihan.
LYDIA membuktikan perempuan juga aktif sukan gusti.
Fatin Farhana Japre


Sukan gusti mungkin menjadi kegemaran ramai remaja terutama lelaki. Namun tak semua tahu wujudnya platform yang betul untuk memperluaskan bakat dalam sukan ini.

Baru-baru ini, penulis berpeluang menemu bual dua remaja yang bernaung di bawah ‘team’ Malaysia Pro Wrestling (MYPW) di Kompleks Sukan MSN, Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Seorang gadis bernama Lydia Wayne, 26, menarik perhatian penulis apabila aksinya menjatuhkan lawan lelaki dengan mudah semasa sesi latihan.

Minatnya terhadap sukan gusti ini muncul sejak dua tahun lalu namun mula memberanikan diri menyertai MYPW pada September tahun lalu.

“Saya suka menonton rancangan gusti di televisyen sejak kecil namun apabila besar baru terfikir untuk mencubanya. Walaupun rasa takut pada awalnya, lama-kelamaan saya rasa seronok melakukan latihan lasak ini setiap hari.

“Lebih mengujakan, baru empat bulan menjadi ahli MYPW saya sudah diberi peluang menyertai pertandingan gusti anjuran kelab ini. Malah pada Julai lalu, saya diberi kepercayaan mewakili MYPW ke pertandingan Wrestling City Asia 2016 di Singapura.

“Di sana, saya berjaya mengalahkan ‘wrestler’ perempuan dari Singapura dan menjadi juara. Meskipun itu kali pertama beraksi di luar negara, saya tidak kekok di gelanggang kerana mendapat sokongan daripada penonton,” kata anak bongsu daripada dua beradik ini.

Kata Lydia lagi, dalam sukan gusti semua aksi nampak macam ‘real’ tetapi hakikatnya ia sekadar pergerakan pantas tanpa mencederakan pihak lawan.

“Bagaimanapun, saya sentiasa berhati-hati dan mengingati teknik yang diajar jurulatih, Fareez Shaukat Fonseka, supaya tidak mencederakan diri sendiri ketika perlawanan.

“Jika dulu saya jadikan sukan gusti sebagai hobi saja tetapi sekarang saya nak fokus sebagai karier memandangkan di Malaysia sukan ini sukar untuk pergi jauh,” kata anak kelahiran Setiawan, Perak ini.

Sementara itu, Emman Noorazman, 15, berkata sukan gusti ini diminatinya sejak kecil dan pada usia 13 tahun dia mula menyertai MYPW sehingga kini.

Berkongsi pengalamannya, Emman pernah memegang gelaran Wrestlecon Championship 2015 selama 312 hari yang dimiliki pada pertandingan PGMania V.

“Namun pada Ogos lalu, saya ditewaskan oleh Furious Faizal di pertandingan MYPW Resistance di Kuash Theatre Taman Tun Dr Ismail. Kiranya dalam MYPW, saya ahli gusti pertama yang pernah memegang gelaran atau tali pinggang yang menjadi impian semua ahli gusti.

“Walaupun masih muda, saya tetap komited berlatih untuk pergi lebih jauh dalam sukan ini dan membawa nama negara suatu hari nanti di peringkat antarabangsa apabila benar-benar layak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2016 @ 11:29 AM