FOTO ihsan Mat Redho
Mazizul Dani


Kuala Lumpur: "Terima kasih banyak-banyak kepada semua sebab bila tengok video itu. Mereka tetap memberi komen yang positif kepada saya, langsung tiada yang negatif.”

Begitulah kata-kata Mohd Redha Rozlan, 28, atau lebih dikenali dengan nama Mat Redho, satu-satunya wakil Malaysia ke final Sasuke Vietnam atau ‘Ninja Warrior’ yang disiarkan oleh saluran televisyen Vietnam, VTV3, minggu lalu.

Mat Redho antara 11 peserta lolos ke pentas final daripada lebih 200 peserta dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, China, Singapura dan Vietnam yang menyertai pada peringkat awal.

“Kawan-kawan, keluarga terutamanya isteri (Nureain Kamdan, 30) juga sentiasa memberi sokongan kepada saya sepanjang dua minggu rakaman pertandingan itu dibuat.

"Ada juga yang memberitahu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang saya membanggakan negara kerana sentiasa kibarkan Jalur Gemilang di bumi Vietnam,” katanya ketika dihubungi.

Video aksi Mat Redho di peringkat ketiga dan final viral di Facebook (FB) dan mendapat komen yang positif daripada netizen selepas rakaman pertandingan itu disiarkan minggu lalu.

Pertandingan itu dimenangi peserta tuan rumah yang berjaya melepasi halangan yang dinamakan Gunung Midoriyama dengan masa terpantas.

"Saya bangga kerana berjaya melepasi ketiga-tiga peringkat untuk ke final. Mungkin kelebihan buat peserta yang menang kerana pernah mencuba halangan itu," katanya yang baru saja memenangi pertandingan mirip ‘Ninja Warrior’ iaitu Pahlawan Malaysia, Sabtu lalu.

Katanya, selepas ini dia akan meneruskan latihan seperti biasa untuk mengekalkan staminanya dan sempat menitipkan pesanan untuk mereka yang berhasrat menyertai pertandingan seumpana itu pada masa akan datang.

"Saya akan teruskan latihan iaitu antara tiga hingga empat kali seminggu memandangkan saya memang menjalani latihan untuk pasukan kebangsaan dalam sukan 'wall climbing' (memanjat dinding).

"Pada saya, kalau nak masuk pertandingan jangan malas dan orang-orang muda ni kalau boleh jangan kerap melepak. Pergilah bersukan, termasuk menggunakan palang, sekurang-kurangnya dapat berpeluh untuk badan kekal 'fit'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 1:06 AM