PELURU berpandu Iskander.
Agensi

Warsaw (Poland): Russia menempatkan peluru berpandu nuklearnya berhampiran sempadan Poland ketika ketegangan semakin meningkat antara Moscow dan negara kuasa besar Barat.

Peluru berpandu Iskander ditempatkan di Kaliningrad, wilayah Russia di Laut Baltik yang terletak antara Poland dan Lithuania.

Iskander yang mempunyai jarak sasaran sejauh 708 kilometer kini mampu menjangkau bandar utama Barat, termasuk Berlin.

Pegawai Poland yang juga negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menganggap tindakan Moscow itu sangat membimbangkan.

Menteri Luar Jerman, Frank-Walter Steinmeier berkata, situasi antara Russia dan Barat kini lebih berbahaya berbanding ketika era Perang Dingin.

“Keadaan ketika ini lebih bahaya daripada Perang Dingin,” katanya.

Diplomat Jerman dan pakar dasar keselamatan, Wolfgang Ischinger memberitahu terdapat bahaya berlakunya pertikaian ketenteraan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 7:20 AM