PEMENTASAN Supermokh Sebuah Musical Restaging lakonan Awie dan Maya Karin berjaya menarik lebih 17,000 penonton.
TEATER Sudirmania arahan Khairunazwan Rodzy dapat sambutan menggalakkan.
TEATER Bangsawan Sinbad turut tidak ketinggalan dipentaskan.
PERSEMBAHAN Kelab Teater Rimba UKM di Festival Teater Malaysia 2014 di Auditorium DBKL.
TEATER Bahayanya Wanita walaupun menampilkan Zizan Razak, Erra Fazira dan Nora Danish, hanya berjaya menarik kira-kira 2,000 penonton.

Arus industri teater tanah air sepanjang 2014 seakan tidak berubah apabila jenama komersial dan popular masih menjadi pilihan penerbit bagi menarik penonton.

Seperti biasa gelanggang berprestij seperti Istana Budaya (IB) di Kuala Lumpur mendominasi pasaran apabila sering menampilkan nama besar dalam pementasan yang diadakan.

Biarpun berdepan kelesuan sambutan dalam sektor filem dan muzik, IB dilihat masih kekal menjadi pilihan utama serta 'lubuk emas' penggiat teater tempatan dengan memilih genre muzikal yang mudah diterima ramai.

Tahun ini, IB tampil dengan 11 teater termasuk antarabangsa manakala selebihnya persembahan berkonsep tarian dan muzik. Tidak semuanya mendapat sambutan hangat tetapi IB masih menjadi pilihan untuk menikmati teater berkualiti.

Tirai teater 2014 IB dibuka dengan teater bebas Jam Dinding Yang Berdetak yang berlangsung pada 17 hingga 19 Januari. Teater yang tidak menampilkan nama-nama besar ini mendapat sambutan sederhana daripada peminat dengan jumlah 483 penonton.

Ia disusuli teater Bidasari yang berlangsung pada 10 hingga 17 Februari sempena musim cuti sekolah. Teater arahan Lokman Ghani ini menampilkan Raja Azura, Datuk Jalaluddin Hassan, Hairul Azreen serta pasangan Aiman Hakim dan Nur Fathia sebagai tarikan dan strategi ini menjadi apabila sambutan yang diterima tidak mengecewakan dan ditonton 5,997 peminat.

Monolog Jual Ubat karya Khalid Salleh dipentaskan pada 11 hingga 17 Mac dan sambutan yang diterima agak baik kerana menarik kehadiran 1,304 penonton.

Di Bawah Lindungan Kaabah pula yang dipentaskan pada 9 hingga 18 Mei sememangnya ditunggu-tunggu kerana menampilkan barisan pelakon popular iaitu Adi Putra dan Nasha Aziz.

Teater terbitan CTRA Production arahan Rosminah Tahir ini diadaptasi daripada novel karya penulis dan ulama terkenal Indonesia, Profesor Hamka. Ia berjaya menarik kehadiran 8,264 peminat.

Teater Dry Comedy Night...Where's The Water berlangsung pada 23 Mei di Panggung Sari ditonton oleh 600 peminat.

Menyusul selepas itu ialah teater muzikal Sudirmania pada 28 Mei hingga 1 Jun yang ditonton 900 peminat.

Sambutan hebat menerusi pementasan Maduku...Kalut sebelumnya berjaya membuka peluang untuk Mask Team beraksi di Panggung Sari menerusi teater Projek Kahwin pada 6 hingga 14 Jun. Barisan pelakon yang ditampilkan ialah Izzue Islam, Hanez Suraya, Kaka Azraff, Imam Muda Asyraf dan ramai lagi. Bagaimanapun, persiapan mereka sedikit terganggu apabila Hanez berdepan isu peribadi yang hangat.

Sebagai alternatif, penerbitnya mengambil Kilafairy sebagai ganti. Bagaimanapun mereka mengekalkan Hanez selepas perbincangan dengan IB dengan mencapai persetujuan mengagihkan watak ini kepada kedua-duanya mengikut hari persembahan yang ditetapkan.

Projek Kahwin mendapat tontonan 7,804 peminat.

Satu lagi teater besar ialah Bahayanya Wanita yang dipentaskan di Panggung Sari pada 20 hingga 24 Jun.

Menampilkan nama-nama besar iaitu Erra Fazira, Nora Danish, Zizan Razak dan Ziela Jalil, teater yang dipentaskan buat kali kedua ini hanya mampu menarik kehadiran 2,326 penonton.

Supermokh Sebuah Musical Restaging kembali dipentaskan di Panggung Sari pada 8 hingga 21 September. Me­ngekalkan pelakon asal iaitu Awie, Maya Karin dan yang lain, teater ini ternyata unggul apabila berjaya menarik kehadiran 17,273 penonton!.

Tidak kurang hebatnya ialah teater P. Ramlee The Musical-Lagenda Kembali yang dipentaskan di Panggung Sari pada 3 hingga 13 Oktober. Lakonan Puan Sri Tiara Jacquelina, Nadia Aqilah, Tony Eusoff dan Lisa Surihani berjaya menarik 16,225 penonton.

Teater Xuan Zhuang-Journey To The West The Musical pula dipentaskan di Panggung Sari pada 29 Oktober hingga 9 November dan ditonton oleh 7,975 penonton.

Ketika ini masih berlangsung pementasan Takhta 3 Ratu sehingga 23 Disember di Panggung Sari.

Biarpun ceritanya agak berat, lakonan Erra Fazira, Awie, Soo Wincci, Lee Mei Fen, Azri Iskandar, Izreen Azminda dan Remy Ishak dijangka mampu menarik kehadiran peminat untuk menonton.

Selain IB, pentas teater turut disemarakkan dengan penganjuran Festival Teater Malaysia 2014 oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Festival dwi tahunan yang berlangsung di Auditorium DBKL pada penghujung Oktober lalu membariskan enam kumpulan iaitu Kelab Teater Rimba UKM mewakili Selangor, Persatuan Penggerak Seni Budaya (Kuala Lumpur), Kumpulan Teater Remaja Harapan (Kedah), Grup Teater Lab, UMS (Sabah), Persatuan Seni Persembahan Sifar (Sarawak) dan Anak Seni Pendidikan (Kelantan).

JKKN turut menganjurkan Siri Semarak Bangsawan 2014 yang menampilkan lapan kumpulan yang mengadakan pementasan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sepanjang 2014.

Tidak ketinggalan ialah kegigihan Tiara Jacquelina memartabatkan teater menerusi pementasan MUD: Our Story of Kuala Lumpur (MUDKL) anjuran syarikatnya Enfiniti Vision Media dengan kerjasama DBKL di Panggung Bandaraya.

Beliau juga kembali mementaskan teater Seussical The Broadway Musical di PJ Live Arts yang berlangsung sehingga Ahad ini.

Tidak dilupakan juga ialah aktivis teater kecil yang memainkan peranan penting bagi menggerak dan menyemarakkan dunia seni teater negara.

Tanpa bajet besar serta dengan serba kekurangan, mereka tetap membuat pementasan antaranya di Auditorium MATIC, Auditorium DBP, Damansara Performing Arts Centre (DPAC) dan lokasi-lokasi lain.

Pada masa sama, penggiat teater Inggeris pula kekal berkarya di KL PAC, The Loft Lot 10 dan The Actors Studio. Namun peluang turut dibuka kepada penggiat teater berbahasa Melayu untuk bekerjasama dengan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 5:06 AM