TERTUDUH (kiri) di Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Peniaga burger dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM27,000 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana memiliki 253 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM2,713.

Tertuduh, Muhammad Amiru Syazuan Abdul Ghani, 25, dari Kampung Gong Tok Nasek, di sini turut dikenakan hukuman penjara tambahan enam bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Majistret Abdul Hayyi Salim selepas tertuduh yang juga bapa kepada seorang anak mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki barang larangan iaitu 253 karton rokok jenama Minna International; Gudang Garam Surya; Gudang Garam Nusantara; Premium; Canyon; John White; John F1; SAAT; Pine Prime Fresh Apple dan U2 Full Flavour Merah dan Hitam bernilai RM2,713.

Dia didakwa melakukan itu di premis di Kampung Gong Tok Nasek, di sini, 9 malam 17 Julai lalu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Mohd Redzuan Hamdan manakala tertuduh diwakili peguam Kamaruzzaman Wahab.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 3:26 PM