Hashim (tengah) menunjukan sebahagian barang rampasan sindiket along pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Putri, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaluddin
Mohd Sabran Md Sani


Iskandar Puteri: Polis Iskandar Puteri menumpaskan sindiket along yang menawarkan pinjaman wang secara haram di daerah ini hasil serbuan terhadap dua premis di Mount Austin dan Setia Indah di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Superintendan Noor Hashim Mohamed berkata serbuan pada jam 2.30 petang itu hasil maklumat risikan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJKD) IPD itu susulan aduan mangsa.

Katanya, berikutan itu empat lelaki berusia sekitar 20-an ditahan bersama pelbagai barangan mempunyai kegiatan pemberi pinjaman.

"Hasil soal siasat mendapati sindiket beroperasi sejak enam tahun lalu di seluruh Johor dan dipercayai mempunyai banyak rangkaian di negara ini.

"Sindiket juga disyaki terbabit terbabit dalam aktiviti memungut hutang daripada mangsa dengan menggunakan elemen kekerasan seperti simbah cat, ugutan jenayah dan mengunci rumah mangsa," katanya pada sidang media di IPD Iskandar Puteri di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara barangan rampasan adalah iklan pemberi pinjam wang, 19 kad pengeluaran wang automatik (ATM), telefon bimbit, buku pinjaman, buku akaun bank, dan dua kereta milik suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan berdepan denda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 5:48 PM