MOHD Rawi (kanan) menerima cenderahati daripada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Utara Malaysia (UUM), Professor Dr. Abdul Malik Abdul Karim (kiri) selepas Majlis Perasmian Seminar Islam dan Kelestarian Ummah Peringkat Serantau (SIDKUN) 2016. FOTO Sharul Hafiz Zam
Aizat Sharif
mohd.aizat@hmetro.com.my


Bukit Kayu Hitam: Kerajaan Negeri Kedah akan mengikuti jejak Johor dan Selangor dalam mengeluarkan larangan berdakwah kepada beberapa pendakwah Islam di tanah air yang didapati menyeleweng dari segi fahaman dan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, pihaknya dalam proses untuk menyenaraikan tidak lebih daripada 20 orang pendakwah Islam yang didapati menyampaikan ceramah yang dianggap menyeleweng dengan fahaman dan pegangan agama Islam yang sudah dipraktikkan di negeri itu sejak berzaman.

“Senarai rasmi ini tidak akan didedahkan secara umum tetapi cukup sekadar untuk perhatian dan pengetahuan Jabatan Agama Islam Negeri Kedah dan Jabatan Mufti Negeri Kedah dan kita pada peringkat awal permasalahan ini sudah pun bermesyuarat di peringkat negeri untuk menghalang kumpulan pendakwah seperti disenaraikan di Johor dan Selangor ini daripada turut menyampaikan ceramah agamanya di Kedah atas titah Sultan Kedah demi menjaga akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Islam dan Kelestarian Ummah Peringkat Serantau di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, disini, hari ini.

Tambahnya lagi, larangan berkenaan akan dilakukan berikutan terdapat ancaman fahaman berkenaan di kalangan masyarakat di negeri Kedah yang semakin meragui dengan amalan serta fahaman Islam yang mereka pegang sejak dahulu lagi.

“Akhir ini, kita diserang dengan fahaman pelbagai akidah dan fahaman Islam yang berusaha untuk menyimpangkan amalan sedia ada yang dipraktikkan di Kedah menerusi tauhid Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan pengajian tauhid Islam yang lain,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, ini termasuklah mempersoalkan amalan membaca Surah Yasin pada malam Jumaat, bacaan talkin kepada jenazah, amalan tarikat serta amalan lain.

“Kita dapati walaupun tidak banyak tetapi terdapat segelintir masyarakat di negeri ini yang mengikuti ceramahnya pendakwah ini melalui laman sosial seperti Facebook dan YouTube begitu terpengaruh sehingga mempersoalkan kembali amalan yang berpaksikan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang dilakukan sebelum ini,” katanya lagi.

Mohd Rawi berkata, jika kerajaan negeri tidak mengambil tindakan, ditakuti orang awam yang tidak mempunyai pengetahuan mendalam terhadap pengajian Islam akan mudah terpengaruh.

“Kita turut menggesa pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta kerajaan supaya dapat melihat dengan lebih mendalam terhadap kumpulan pendakwah Islam yang ‘digam’ di beberapa negeri ini berkenaan cara dan fahaman yang cuba disampaikan oleh mereka melalui ceramah mereka.

“Jika mereka ini sudah ‘digam’ di beberapa negeri bererti sudah tentu mereka ini mempunyai pelbagai masalah melalui pengajaran agama yang disampaikan oleh mereka,” katanya lagi.

Sementara itu, 300 peserta dari pusat pengajian Islam di Kedah, Selatan Thailand dan Makassar, Indonesia menghadiri seminar berkenaan yang bertemakan ‘Memperkasakan Ahli Sunnah Wal Jamaah’.

Pelbagai kertas kerja megenai pemerkasaan agama Islam dibentangkan dalam seminar berkenaan yang turut dihadiri oleh Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhammad Baderuddin Ahmad dan Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 7:53 PM