BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang penghantar surat didenda RM1,300 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang anggota polis menggunakan tangan dan kaki, tiga hari lalu.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menjatuhi hukuman terhadap R Elango Naidu, 26, yang melakukan kesalahan itu di persimpangan Balai Polis Traves di sini, pada 11.17 malam, 8 Oktober lalu.

Elango Naidu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran manakala peguam Luqman Hakim Azhar yang mewakili tertuduh, merayu denda minimum dengan alasan anak guamnya sudah insaf.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 9:06 PM