POGBA (tengah) wira Perancis.
POGBA (tengah) wira Perancis.
Reuters

Amsterdam: Pemain tengah Perancis, Paul Pogba yang juga pemain termahal dunia, menyumbat gol menerusi rembatan jarak jauh menakjubkan selepas 30 minit untuk memastikan kemenangan 1-0 ke atas Belanda pada kelayakan Piala Dunia, awal pagi semalam.

Kemenangan di Arena Amsterdam menjadikan naib juara Euro 2016 itu pilihan utama untuk mengungguli Kumpulan A sekali gus layak ke pusingan akhir di Russia pada 2018.

Perancis mendahului tujuh mata di samping Sweden, yang mengatasi Bulgaria 3-0, manakala Belanda di tangga ketiga dengan empat mata.

Sekalipun setiap negara masih ada baki tujuh perlawanan, kemenangan Perancis ke atas pasukan yang dijangka lawan paling sukar mereka memberikan kelebihan besar buat anak buah Didier Deschamps.

Pogba, pemain tengah Manchester United, melakukan rembatan jarak jauh yang bagaimanapun berjaya ditepis lemah penjaga gol Maarten Stekelenburg sebelum menerjah jaring.

Belanda mendakwa mereka sepatutnya menerima sepakan penalti empat minit sebelum rehat apabila bola terkena lengan Laurent Koscielny ketika dia cuba menghalang percubaan jarak dekat Vincent Janssen namun pengadil Slovenia, Damir Skomina tidak mengendahkannya.

Stekelenburg, yang bermain hanya aksi keduanya di peringkat antarabangsa dalam tempoh empat tahun, menafikan percubaan Kevin Gameiro dalam 15 minit pertama dan sekali lagi sebaik sebelum rehat. Bola lantunan percubaan kedua itu jatuh di kaki Antoine Griezmann namun tendangannya tersasar.

Penjaga gol Everton itu juga menggunakan kakinya untuk menyepak keluar bola dari garisan gol berikutan tandukan Pogba menerusi sepakan sudut pada minit ke-66.

Memphis Depay, yang masuk menggantikan Guincy Promes selepas hanya 16 minit kerana kecederaan, mempunyai tiga peluang untuk menyamakan kedudukan termasuk sepakan percuma melencong yang hampir mengelirukan Hugo Lloris dan percubaan jarak dekat dua minit sebelum tamat yang berjaya diselamatkan penjaga gol Tottenham itu.

“Mereka mempunyai lebih kualiti berbanding kami tapi kami tidak memberikan mereka terlalu banyak peluang, hanya rembatan jarak jauh itu masuk,” kata kapten Belanda, Kevin Strootman. “Ia lebih menyukarkan tapi saya fikir kami kurang menyengat di bahagian serangan.”

Perancis akan menerima kunjungan Sweden pada 11 November ini manakala Belanda bertandang ke Luxembourg dua hari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 9:11 AM