BELUM fikir soal kahwin.
BELUM fikir soal kahwin.
NONISWARA mahu aktif berlakon tahun depan.
NONISWARA mahu aktif berlakon tahun depan.
Syanty Octavia Amry

Lama tidak aktif berlakon, dramatis Noniswara Baharuddin (Nonis), 44, mahu kembali mewarnai persada seni lakonan.

Nonis yang hampir setahun tidak muncul di kaca televisyen mengakui dia rindu untuk kembali aktif.

Malah selama menyepi dia tidak hanya menguruskan perceraian dengan bekas suami, Datuk Rosman Ridzwan tetapi turut mengambil peluang menghabiskan masa bersama anak-anak.

"Lama sangat rasanya tidak berlakon. Sepanjang tahun ini saya menolak banyak tawaran berlakon demi memberi fokus menguruskan rumah tangga.

"Selain masalah (perceraian) itu, saya perlu mengambil banyak masa untuk berehat dan memberi sepenuh perhatian terhadap anak-anak Naveer Mihshon, 20, dan Nur Erysha Emyra, 15 yang sedang membesar.

"Saya akui rindu hendak berlakon semula. Tempoh setahun itu terasa sangat lama dan Alhamdulillah sekarang saya mula berlakon menerusi drama bersiri Hati Perempuan yang akan disiarkan di TV3 nanti.

"Kiranya ini projek untuk tahun 2015. Tahun 2014 memang saya tidak berlakon namun banyak drama lama saya yang ditayangkan semula di televisyen," katanya.

Antara drama lakonan Nonis ialah Bukan Ku Pinta, Senyum Terakhir dan Cinta Sarakit. Sebelum terbabit dalam bidang lakonan Nonis asalnya seorang penyanyi.

Melihat penampilan barunya yang kini cantik bertudung, wanita berasal dari Pasir Mas, Kelantan ini mengakui mula bertudung sebulan sebelum Ramadan yang lalu.

"Niat bertudung asalnya sudah lama apatah lagi melihat anak perempuan saya bertudung menguatkan lagi keinginan untuk sama-sama berhijab sepertinya.

"Alhamdulillah hati saya terbuka untuk melakukannya sebulan sebelum Ramadan yang lalu dan saya bertudung sepenuhnya," katanya.

Mengulas mengenai status dirinya yang bercerai buat kali kedua, Nonis berkata, dia tidak serik untuk berkahwin lagi namun berharap biarlah bakal suaminya itu seorang yang kuat berpegang pada agama dan dapat membimbing dirinya menjadi isteri solehah.

"Ini adalah perceraian kedua saya, sebagai seorang wanita tidak ada sesiapa pun yang mahukan perkahwinan berakhir dengan perceraian. Mungkin ini adalah hikmah membuatkan saya menjadi seorang yang lebih cerewet dalam soal mencari pasangan hidup.

"Memegang status janda banyak dugaannya, mungkin juga saya akan dikaitkan mempunyai hubungan dengan suami orang. Jujur saya katakan, seboleh-bolehnya saya menolak perhubungan itu dan berharap tidak hidup bermadu. Namun kuasa Allah SWT siapalah kita untuk menolaknya jika ditakdirkan terjadinya begitu.

"Apa pun selagi boleh saya elakkan dan biarlah bertemu dengan lelaki bujang yang betul-betul ikhlas menerima saya dan anak-anak serta mampu membimbing saya ke jalan Allah.

"Tidak saya nafikan macam-macam lelaki yang datang kepada saya. Ada yang berumur 20-an, 30-an beriya-iya mahu melamar saya sebagai isteri.

"Kalau boleh saya mahu pasangan yang lebih berusia daripada saya atau mungkin juga lebih kurang sebaya saya. Bukan tidak yakin dengan lelaki muda tetapi rasa diri tidak sesuai dipadankan dengan mereka," kata anak kepada pelukis terkenal Baharuddin M.Y ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 5:08 AM