Palembang: Pemenang emas acara platform wanita, Traisy Vivien, 20 mendakwa penyertaan pada temasya AUG kali ini boleh dianggap umpama ‘bidan terjun’.

Semuanya kerana skuad terjun hanya dimaklumkan mengenai pembabitan di Palembang kira-kira tiga minggu sebelum temasya bermula.

“Ketika itu saya bercuti di kampung (Sarawak). Saya terpaksa menjalani latihan ala kadar saja.

“Latihan hingga ke saat akhir dan saya tak tahu siapa yang akan saya temui di sini tambahan pula ini temasya AUG saya yang pertama.

“Agak tertekan juga pada mulanya hinggalah ke baki dua terjunan terakhir apabila saya berjaya mencatat mata yang agak baik,” katanya yang memenangi emas 10m platform wanita.

Sementara itu dalam acara 400m rampaian individu wanita, Khoo Chai Lin meraih emas apabila mencipta masa 5 minit 00.18 saat.

Dia mengatasi perenang Filipina dan Indonesia untuk pingat perak dan gangsa.

“Kalau mahu diikutkan, prestasi saya ini boleh dikatakan baik kerana saya tidak menjalani latihan pesat sejak Sukan Asia Incheon.

“Lagipun, acara ini bukanlah acara yang saya gemari. Berbanding di Laos, saingan kali ini lebih sengit dengan perenang Filipina serta Thailand dilihat semakin meningkat,” kata Cai Lin.

Cai Lin akan turun pada acara 200m rampaian individu serta 800m gaya bebas, hari ini.

Erika Kong menghasilkan emas ketiga Malaysia dalam acara renang dan terjun semalam apabila mengungguli 100m kuak dada dengan catatan 1:13.07s, mengatasi perenang Indonesia, Kreta Pradani dan atlet Filipina, Cordero Denjyle.

Shaun Yap menduduki tempat kedua di belakang Ketin Nuttapong dari Thailand dalam acara 100m kuak dada lelaki manakala Yus Gagarin dari Indonesia berada di tempat ketiga.

Malaysia gagal meneruskan kutipan emas malam tadi apabila kuartet 4X100m gaya bebas lelaki hanya berkedudukan perak dengan catatan 3:30.99s apabila kuartet Thailand dibatalkan.

Indonesia muncul juara dengan kepantasan 3:26.82s manakala Filipina ketiga dengan 3:34.87s.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 5:08 AM
Digital NSTP Subscribe