IHSAN Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak
Farah Suhaidah Othman


Ipoh: Empat dapur asrama sekolah di negeri ini diarah tutup berikutan tidak bersih yang dipercayai boleh membawa kepada keracunan makanan kepada pelajar.

Selain itu, 34 notis mengikut Seksyen 32B turut dikeluarkan kepada pengusaha kantin dan dapur sekolah berasrama kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Juita Ghazalie, berkata 195 premis

diperiksa dalam operasi Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak pada 10 hingga 12 Oktober lalu.

Katanya, empat daripadanya diarahkan tutup kerana gagal mencapai tahap penilaian 70 peratus.

Katanya, operasi membabitkan 137 pegawai kesihatan negeri dilakukan berikutan peningkatan kes keracunan makanan di sekolah berasrama dan kantin sekolah berbanding dengan tahun sebelumnya.

"Arahan penutupan empat premis mengikut Seksyen 18 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (1988) adalah kerana kita mendapati terdapat kesan hurungan tikus dan lipas dan dipercayai boleh menyebabkan keracunan makanan," katanya.

Beliau berkata, dalam operasi itu, 34 notis mengikut Seksyen 32B turut dikeluarkan kepada pengusaha dapur sekolah berasrama dan kantin sekolah kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

"Selain gagal memastikan premis berada dalam keadaan bersih, 14 daripada jumlah notis yang dikeluarkan berikutan pemilik premis tidak mendapatkan suntikan Typhim untuk pekerja masing-masing.

“Sementara itu, 11 lagi kerana pekerja tidak mempunyai latihan pengendali makanan manakala sembilan notis dikeluarkan kerana pengendali makanan tidak memakai pakaian bersih ketika mengendalikan makanan.

"Pengusaha yang dikeluarkan notis dikenakan kompaun RM1,000 dan mereka boleh membuat pembayaran di Pejabat Kesihatan Daerah di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 9:06 AM