FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Dua puluh tiga warga Filipina ditahan Jabatan Pendaftran Negara (JPN) kerana disyaki menggunakan kad pengenalan palsu dan milik orang lain.

Mereka dikesan melakukan kesalahan itu dalam serbuan di beberapa kawasan perumahan, di sini, tengah malam tadi.

Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Ibu Pejabat JPN Putrajaya, Mohamad Yusri Hashim, berkata semua yang ditahan membabitkan lapan wanita dan 15 lelaki berusia antara 20 hingga 60 tahun.

"Hasil siasatan mendapati 16 individu menggunakan kad pengenalan palsu manakala tujuh lagi menggunakan kad pengenalan milik orang lain. Mereka berasal dari selatan Filipina berketurunan Sulu dan Bajau.

"Selain itu, pemeriksaan lanjut mendapati ada di antara mereka turut memalsukan sijil kelahiran, sijil nikah, maklumat dan kad hijau Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), pas kontraktor serta lesen memandu.

"Kita juga merampas barang kemas anggaran RM50,000 selain RM850 tunai daripada dua wanita yang tinggal berasingan dipercayai hasil daripada pemalsuan dokumen," katanya pada sidang media di Pejabat JPN Daerah Manjung, di sini, hari ini.

Menurutnya, dalam operasi tujuh jam bermula 12 tengah malam yang disertai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) turut menahan sembilan individu berusia antara 20 hingga 40 tahun atas kesalahan tinggal lebih masa.

Katanya, selain JPN Putrajaya dan JIM operasi turut membabitkan JPN Perak, Selangor dan Johor serta pasukan Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu DiRaja, Ipoh yang diketuai Kapten Mohd Sazwan Saaidi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 10:30 AM