Adnan (kiri) yang mewakili Af Jets hadir di mahkamah untuk memfailkan tuntutan saman kepada empat ahli kumpulan rock di atas pembatalan konsert mereka di Mahkamah Tinggi Shah Alam. FOTO Muhammad Sulaiman
Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: Bekas penganjur konsert Search 35 tahun, AF Jets Sdn Bhd memfailkan tuntutan saman kepada empat ahli kumpulan rock berkenaan di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini di atas pembatalan konsert mereka.

Syarikat itu selaku plaintif memfailkan tuntutan itu menerusi Tetuan Adnan Sharida & Associates ke atas semua defendan iaitu Suhaimi Abd Rahman atau Amy Search, Noordin Mohd Taib, Hamzah Mohd Taib dan Nasir Daud.

Dalam tuntutan saman berkenaan, AF Jets menuntut ganti rugi khas ke atas perbelanjaan yang sudah dikeluarkan untuk penganjuran konsert berkenaan sebanyak RM494,079.71 serta ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi pengajaran dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Peguam, Adnan [email protected] yang mewakili Af Jets berkata, anak guamnya turut menuntut satu perintah injuksi dikeluarkan bagi menghalang semua defendan, pekerja atau agennya daripada mengeluarkan dan menerbitkan sama ada secara maya, lisan atau bercetak sebarang kenyataan memburukkan serta memfitnah plaintif.

Konsert Search 35 tahun sepatutnya diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 9 April lalu bagaimanapun ditunda kepada 30 Ogos di Litar Antarabangsa Sepang.

Bagaimanapun, Amy pada 20 Mei lalu menyatakan kumpulan rock berkenaan menarik daripada terbabit dengan konsert berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 3:41 PM