Mohd Zani (kiri) bersama pegawainya menunjukkan rangka motosikal curi yang ditemui. FOTO Ghazali Kori
Norizuan Shamasuddin


Petaling Jaya: Enam termasuk lima remaja bawah umur ditahan selepas disyaki curi motosikal di daerah ini dalam beberapa serbuan bermula Selasa hingga Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, serbuan dilakukan di Taman Medan dan Taman Dato Harun, di sini.

Katanya, menerusi serbuan pertama pihaknya menahan suspek lelaki berusia 23 tahun dan menemui tujuh motosikal bersama komponen disyaki hasil curi.

"Serbuan seterusnya kita manahan lima remaja berusia 13 hingga 17 tahun di Taman Dato Harun ketika sedang meleraikan motosikal yang di curi.

"Siasatan mendapati kesemua remaja bawah umur terbabit masih bersekolah dan polis turut merampas tiga motosikal hasil curi daripada mereka," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil penangkapan enam suspek terbabit polis dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes curi motosikal di sekitar daerah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 4:34 PM