AHMAD Amri (kanan) menunjukkan pukat tunda yang digunakan oleh salah sebuah bot asing yang dirampas di perairan laut Kuala Besar, Kota Bharu. FOTO Mohamad Zulhairie Manzaidi
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Tumpat: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3, Pengkalan Kubor menahan dua bot Vietnam bersama dua tekong dan lapan awak-awak kerana menangkap ikan dengan pukat tunda di perairan Kuala Besar, Kota Bharu petang semalam.

Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman berkata, dua bot asingitu dipintas dua bot peronda kira-kira 13.5 batu nautika dari rumah api Kuala Besar jam 3.30 petang semalam.

Beliau berkata lapan awak-awak dan dua orang tekong warga Vietnam berumur 25 hingga 48 tahun ditahan untuk disoal siasat.

"Nelayan terbabit dibawa balik ke Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 yang menjalankan aktiviti menangkap ikan tanpa lesen perikanan atau kebenaran bertulis daripada Jabatan Perikanan negeri.

"Hasil rampasan dianggarkan bernilai RM1.6 juta ringgit dan kes diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di Jeti PPM Pengkalan Kubor di sini, tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 5:36 PM