Oleh Nur Saliawati Salberi

Sungai Buloh: Jabatan Imigresen Selangor menyerbu dua kawasan penempatan warga asing di Paya Jaras, awal pagi ini dan menahan 42 pendatang tanpa izin (PATI) termasuk sembilan kanak-kanak.

Ketua Operasi Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Selangor Ramli Othman berkata, serbuan kira-kira jam 4 pagi itu dijalankan berikutan aduan penduduk setempat mengenai kebanjiran warga asing di kawasan mereka.

Katanya, anggota penguatkuasa imigresen membuat risikan selama dua minggu sebelum serbuan dilakukan awal pagi ini.

"Daripada 42 yang ditahan, 20 adalah lelaki. Kesemua PATI berumur antara 2 hingga 45 tahun itu adalah warga Indonesia, Nepal dan Kemboja.

"Hasil serbuan juga ada sebilangan orang tempatan mengambil sikap lepas tangan apabila turut melindungi pendatang tanpa izin dengan menyewakan rumah kepada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 12:25 PM