RUMAH limas Johor.
RUMAH limas Johor.

Seni bina rumah tradisional Melayu sangat unik dan menjadi khazanah paling berharga terutama kepada generasi muda.

Kreativiti masyarakat Melayu dulu dalam menggabungkan reka bentuk dengan faktor alam sekitar membuatkan setiap binaan tampil dengan fungsinya tersendiri.

Ruang dalaman rumah dipisahkan dengan beberapa bahagian mengikut keperluan, kegunaan dan peka dengan nilai agama pada setiap susun aturnya. Rumah ibu tempat melayan tetamu lelaki manakala ruang tengah untuk tetamu perempuan.

Hiasan pada rumah Melayu tradisional pula banyak melambangkan identiti kediaman itu sendiri.

Seni ukiran yang diilhamkan daripada motif flora menggambarkan rumah Melayu tradisional tidak dapat dipisahkan dengan alam.

Keunikan dan keindahan ukiran kayu pada bahagian tertentu menambahkan lagi nilai estetik seni binanya.

Kebanyakan masyarakat Melayu dulu mahir mengukir yang diwarisi turun-temurun.

Halaman rumah yang dipenuhi tanaman termasuk pokok kelapa, serai dan kunyit biasanya dijadikan sumber makanan kepada penghuninya. Himpunan tanaman itu akhirnya membentuk landskap menarik.

Rumah limas

Banyak terdapat di Johor, Selangor dan Terengganu. Limas bermaksud bentuk timba atau takir yang diperbuat daripada daun pisang atau upih berbentuk tirus ke atas seperti piramid.

Seni bina rumah limas menitikberatkan aspek pengudaraan, pencahayaan dan keselamatan.

Rumah limas dibina agak tinggi dari aras tanah bagi menggelak dimasuki air ketika musim banjir atau binatang buas ketika malam.

Pada masa sama rumah limas tidak memiliki pangkal serambi dan beranjung di bahagian hadapan.

Ukiran atau jejaring yang ada pada setiap tingkap bukan sahaja berfungsi sebagai hiasan tetapi juga untuk memudahkan cahaya dan udara masuk dalam rumah.

Kebanyakan rumah limas Johor mempunyai ‘kolong’ iaitu bahagian bawah rumah berpagar yang berfungsi sebagai tempat menyimpan barang. Rumah limas sebegini biasanya dikenali sebagai rumah baju kurung.

Ruang anjung rumah limas juga lebih besar dan luas kerana ia berfungsi sebagai tempat melayan tetamu atau tempat melakukan kerja seperti membaiki jala.

MINGGU DEPAN: Rumah limas Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2016 @ 8:30 AM