LOW (tiga dari kiri) pada dialog promosi pelaburan Rubber City, semalam.
LOW (tiga dari kiri) pada dialog promosi pelaburan Rubber City, semalam.
Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menyarankan pemain industri pengeluar sarung getah tempatan mengambil peluang melabur dalam bandar industri getah yang dibangunkan kerajaan Thailand, Rubber City kerana ada pelbagai insentif boleh dimanfaatkan pelabur tempatan.

Rubber City yang terletak di Estate Industri Wilayah Selatan di Songkhla Hatyai dilancarkan Perdana Menterinya, Prayuth Chan-ocha pada awal tahun ini yang memfokuskan kepada aktiviti hiliran dan huluan industri getah.

Presidennya, Denis Low Jau Foo berkata, insentif ditawarkan pihak berkuasa yang terbabit dalam Rubber City antaranya pelepasan cukai, kesediaan tenaga buruh dan infrastruktur pengairan.

Beliau berkata, kerajaan di negara jiran itu berjanji berkemungkinan menyediakan gas asli dalam tempoh tiga tahun dalam projek berkenaan.

“Sebagai syarikat besar, meneroka pasaran asing di seluruh dunia adalah langkah bijak untuk menjadikannya alternatif kepada keseluruhan pasaran.

“Malah, insentif disediakan boleh dianggap peluang untuk dimanfaatkan pemain industri di negara ini bagi meluaskan perniagaan mereka,” katanya selepas menghadiri dialog promosi pelaburan Rubber City, di sini, semalam.

Sementara itu, Gabenor Estate Industri Wilayah Selatan, Verapong Chaiperm berkata, fasa pertama Rubber City dapat dimanfaatkan pelabur pada Jun 2017.

Beliau berkata, dari segi penyertaan pelabur Malaysia dalam Rubber City, ada dua syarikat Malaysia yang komited melabur di kawasan berkenaan.

“Dua syarikat berkenaan menyuntik pelaburan RM629 juta (AS$150 juta) di dalam Rubber City. Namun, kita tidak dapat mendedahkan nama kedua-dua syarikat terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2016 @ 9:31 AM