PASUKAN G3K bersiap sedia sertai Kejohanan HMMTB di Lukut.

Port Dickson: Kelab Basikal Gang Kuat Kayuh Konon (G3K) mengesahkan 50 pelumbanya bakal memberi saingan dalam Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (HMMTB) yang akan berlangsung di Lukut, Sabtu depan.

Pengurus pasukan Azmi Mansor, 47, berkata biarpun tidak menyasarkan kedudukan podium, mereka tetap berikrar untuk memberi tentangan hebat kepada peserta lain.

Katanya, pasukannya yang berpangkalan di Kajang, Selangor dan ditubuhkan pada 2012 itu memiliki 60 ahli berusia 20 hingga 50-an.

“Dalam kejohanan (HMMTB), kami menekankan perlumbaan secara santai tetapi mengamalkan konsep mencuri peluang. Kami berharap ada di antara kami dapat menaiki podium,” katanya.

Beliau berkata, pesertanya diberi peringatan supaya menjalinkan kerjasama dan berusaha mengeratkan hubungan menerusi perlumbaan.

“Bagi 50 peserta G3K, beberapa kumpulan akan dipecahkan. Apa yang penting, curi peluang dan tamatkan kayuhan,” katanya.

Sebagai persediaan, Azmi berkata, peserta menjalani latihan dua minggu sekali pada setiap Rabu dan hujung minggu.

“Selain latihan di jalan raya, ada juga dalam kalangan peserta berlatih di kawasan perumahan masing-masing. Ia penting untuk mengekalkan stamina malah latihan dua kali seminggu sudah mencukupi,” katanya.

Azmi mengakui, kejohanan HMMTB amat berprestij dan menerima penyertaan banyak pasukan berpengalaman.

“Saya ingin menasihatkan peserta G3K supaya berhati-hati ketika menyertai kejohanan. Kita bersukan secara sihat tetapi dalam masa sama, jaga keselamatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2016 @ 11:29 AM