ANTARA hidangan di Dominson Cafe.
Hidayatul Akmal Ahmad


Dekorasi santai, ruang luas, harga berpatutan serta makanan sedap antara kriteria diutamakan sebelum menjamu selera di restoran. Empat kriteria itu diguna pakai pemilik Dominson Cafe, Mohd Izzudin Mohd Dom dan Izzatulain Mohd Dom yang baru memulakan perniagaan kira-kira empat bulan lalu.

Menurut Izzatulain, Dominson Cafe menawarkan lebih 20 hidangan termasuk makanan Barat dan tempatan seperti nasi goreng, mi bandung, sotong penyet, spagethi aglio, burger, ayam buttermilk, chicken chop serta pelbagai jenis minuman termasuk kopi istimewa diimport dari Itali.

“Asalnya kami hanya menyediakan menu Barat tetapi pelanggan meminta menyediakan makanan tempatan membuatkan kami membuat konsep makanan Barat dan tempatan.

“Antara menu paling mendapat sambutan adalah chocololo, mi bandung, John shame rock dan Chic maxbea burger. Istimewanya hidangan burger dihidangkan dalam kuantiti yang besar dan boleh dimakan dua orang,” katanya.

Menurut Izzatulain, kebanyakan pelanggan adalah mereka yang berkeluarga, pelajar dan perseorangan. Tidak dinafikan ada pelanggan yang takut masuk kerana menyangka harga ditawarkan sangat mahal disebabkan kafe kelihatan sedikit ‘hipster’ dan berada di tengah bandar.

“Sebenarnya harga ditawarkan sangat berpatutan dan berbaloi malah kami pernah mendapat pujian mengatakan harga makanan di sini sangat murah berbanding restoran lain. Konsep santai juga antara faktor ramai pelanggan suka datang ke sini.

“Bukan hanya kaum Melayu, malah Cina dan India juga selalu berkunjung ke sini,” katanya.

Menariknya, Dominson Cafe turut menyediakan perkhidmatan wifi percuma kepada pelanggan. Selain itu, mereka menerima tempahan untuk majlis hari jadi dan keraian.

Mengenai persaingan dan keadaan ekonomi tidak menentu, Izzudin berkata ia sesuatu dijangka malah sudah bersedia menghadapinya.

“Tipu jika kata tidak terkesan tetapi ia asam garam semua perniagaan. Mengenai persaingan pula, Alhamdulillah setiap hari kami tidak menang tangan menyambut kedatangan pelanggan lebih-lebih lagi pada waktu malam.

“Ramai yang memberi komen positif terutama pada harga dan kualiti makanan.

Apabila pelanggan senang hati dan gembira di Dominson Cafe, ia adalah kepuasan buat kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2016 @ 5:02 AM