PERUMAH lampu depan yang sporty dengan dua dek.
REKA bentuk dinamik dengan saiz badan tegap.
BUMBUNG suria dipadankan pada model ini.
RUANG kokpit pemandu yang sarat dengan butang kawalan.
PERUMAH lampu belakang yang jelas pada waktu malam.
Badrila Jamlus
jbad@hmetro.com.my


Kehadiran dua varian generasi terbaru kenderaan pelbagai guna (MPV) premium edaran UMW Toyota Motor Sdn Bhd, melalui model Alphard dan Vellfire 2016 membuktikan pasaran MPV berciri mewah sentiasa mempunyai pasarannya tersendiri dan tidak hairan model berkenaan mudah dilihat di mana-mana sahaja.

Kebanyakan model ini dibawa masuk oleh pengimport kenderaan terpakai terus dari Jepun, namun timbul sedikit masalah kepada pembeli di negara ini apabila ciri spesifikasinya seperti pemain audio sukar dimainkan kerana menggunakan bahasa Jepun manakala talaan ECU enjinnya pula tidak diubah suai mengikut keadaan cuaca di Malaysia.

Justeru, bagi keselesaan dan ketenangan fikiran apabila memiliki MPV mewah dari Jepun ini, UMW Toyota Motor membawa masuk model berkenaan yang diimport sepenuhnya dari Jepun tetapi memiliki spesifikasi yang ditala sepenuhnya mengikut selera rakyat Malaysia seperti ECU enjin, sistem audio dan navigasi.

Tidak cukup dengan itu, model berkenaan boleh dihantar ke semua pusat servis berhampiran sekali gus pemiliknya tidak perlu bimbang dengan penyelenggaraan dan alat ganti yang dijamin tulen.

Ini kerana kedua-dua model berkenaan mendapat jaminan selama lima tahun dengan perbatuan tanpa had selain jaminan ketersediaan alat ganti selama 10 tahun.

Kesempatan penulis memandu uji model Toyota Vellfire berkuasa 2.5 liter berwarna ungu gelap atau nama spesifiknya Burning Black membabitkan perjalanan lebih 500 kilometer sekitar Lembah Klang dan laluan lebuh raya dari Kuala Lumpur ke Taiping, Perak baru-baru ini memberikan kepuasan sebenar daripada aspek keselesaan, kestabilan dan pengendalian yang mudah meskipun bersaiz besar.

Jika dilihat aspek reka bentuk luarannya yang direndahkan berbanding model terdahulu sudah cukup menterjemahkan ciri aerodinamiknya seakan reka bentuk model Nissan Elgrand, namun masih mengekalkan ciri ‘ikonik’ lampu dua dek berlapis bagi membezakannya dengan model Alphard.

Bagi pandangan penulis, reka bentuk luaran Vellfire lebih sporty dan sesuai bagi mereka berkeluarga besar namun mahu kelihatan ‘muda’, tetapi bagi mereka yang mahu lebih kepada imej korporat mungkin Alphard lebih sesuai disebabkan rekaannya tidak keterlaluan atau bahasa mudah tidak terlalu sporty.

Ketika di laluan lurus lebuh raya, penulis tidak menghadapi masalah untuk memecut laju ketika melakukan pendakian bukit berhampiran Gua Tempurung atau berhampiran terowong Menora apatah lagi memintas kenderaan lain malah kadangkala tidak menyedari meter kelajuan sudah mencecah 160 kilometer sejam.

Beberapa ciri yang mungkin boleh dipadankan pada masa depan ialah ciri kamera 360 darjah bagi kemudahan untuk memparkir dan lampu amaran pada cermin sisi bagi tujuan memaklumkan kehadiran kenderaan di sisi kiri atau kanan.

Garang dan berani

Vellfire direka dengan lebih sporty dengan menerapkan konsep ‘Garang dan Berani’. Rekaan hadapannya menampilkan gril hadapan besar dengan motif tiga bar krom tebal diapit dan diselang-selikan dengan sepasang lampu hadapan dua dek LED larasan automatik lengkap dengan lampu membelok serta lampu nyalaan siang LED.

Gril bahagian atas dan bawah Vellfire diasingkan antara satu sama lain. Sepasang lampu kabus dipadankan pada perumah yang terletak di kedua-dua hujung gril bahagian bawah berkenaan.

Model itu dilengkapi dengan roda aloi 18-inci dan cermin pandang belakang sisi malah menampilkan tiang-B dihitamkan, yang menurut Toyota ia adalah rekaan ‘kabin yang mengalir, menyerlahkan kekuatannya.’

Pada bahagian belakang, Vellfire berkongsi bampar dan unit spoiler dengan lampu LED bersepadu manakala lampu belakang dilengkapi lensa tanpa warna dan bar kemasan krom.

Ruang penumpang luas

Melangkah ke ruang dalaman, model ini berkongsi rekaan berkonsep ‘Avant Gorgeous’ yang mana Vellfire menerima tema warna hitam dengan kemasan kelabu pada bumbung dan trim kayu berwarna hitam.

Ia dilengkapi tujuh tempat duduk dengan konfigurasi 2-2-3 dengan barisan kedua menampilkan tempat duduk ‘kapten’ bersama perehat kaki Ottoman. Perehat kaki Ottoman juga dipadankan pada tempat duduk hadapan sebelah penumpang malah kedua-dua belah pintu gelongsor belakang diberikan bantuan kuasa elektrik, begitu juga dengan pintu tailgate belakang.

Kerusi empuk ini membolehkan penumpang belakang tidur nyenyak sambil melunjurkan kaki sekali gus perjalanan jauh tidak memenatkan malah barisan kerusi ketiganya boleh dilaras untuk mendapatkan ruang kargo lebih besar. Sebanyak sembilan jenis pelarasan tempat duduk boleh dilakukan malah enam beg golf boleh dibawa di ruang kargo.

Sesuai dengan motonya, ‘Perjalanan Dalam Kemewahan’ MPV ini dilengkapi paparan meter pelbagai informasi TFT Optitron bersaiz 4.2 inci dan bumbung suria di hadapan serta belakang juga disediakan.

Sistem infotaimen cukup menyeronokkan dan navigasi dengan skrin sentuh DVD AVN tujuh-inci dihubungkan kepada lapan pembesar suara, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, roda stereng pelbagai-fungsi, lampu suasana 16 warna pada kabin belakang, skrin hiburan 10.2 inci (dengan kawalan jauh dan fon kepala tanpa wayar) di belakang, pendingin hawa tiga zon berserta liang dan kawalan di belakang lengkap dengan teknologi nanoe Panasonic.

Bagi keselesaan pemanduan, ciri telefon bebas tangan dengan pengecaman suara dan MirrorLink pula memudahkan urusan berkomunikasi dan hiburan ketika memandu selain serasi dengan Apple CarPlay serta Android Auto.

Enjin berkuasa

Vellfire dikuasakan dengan enjin 2AR-FE 2.5 liter empat silinder sebaris DOHC Dual VVT-i menjana 180PS pada takat 6,000rpm rpm dan tork maksimum 235 Nm pada 4,100rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear CVT, pacuan roda hadapan dan daripada aspek penjimatan minyak model ini dipadankan dengan sistem henti/mula serta mod ECO.

Selain itu, bagi memudahkan pengendalian ketika parkir, stereng model ini dipadankan dengan motor elektrik (EPS) dan jika mahu berhenti di lampu isyarat tanpa menekan brek, anda hanya perlu menekan butang ‘hold’ di sebelah kiri berhampiran gear.

Tujuh beg udara

Struktur reka bentuk hadapannya direka untuk menyerap hentakan akibat perlanggaran sebelum tiba di bahagian kabin penumpang menerusi struktur besi yang diperkuatkan bagi memberikan perlindungan maksimum.

Tujuh beg udara keselamatan di hadapan dan sisi selain tali pinggang tiga mata untuk semua penumpang serta kerusi ISOFIX untuk kemudahan kerusi kanak-kanak turut disediakan.

Ciri keselamatan lain termasuk ABS dengan sistem pengagihan tekanan brek elektronik (EBD), bantuan brek (BA), kawalan kestabilan kenderaan (VSC) dan kawalan cengkaman (TRC) turut dipadankan selain kawalan bantuan pendakian (HAC).

Satu lagi ciri yang menarik perhatian penulis ialah sensor yang memberikan maklumat pada skrin meter sekiranya anda terlupa menutup tingkap atau lampu. Sistem sensor juga mampu mengesan jika kaca tingkap MPV ini dipecahkan menerusi bunyi siren.

Ciri tambahan lain ialah perakam video digital bersaiz 2.4 inci yang merekodkan imej hadapan bagi kegunaan tertentu seperti berlakunya kemalangan atau sekadar merakam perjalanan anda ke mana-mana sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2016 @ 5:02 AM