AMIR Suharman (tiga kiri) bersama ahli panel pada sidang media selepas mesyuarat pendengaran kes doping. FOTO Osman Adnan
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) memutuskan untuk menggantung serta memberi amaran keras kepada dua pemanah yang gagal ujian doping ketika temasya Sukan Malaysia (SUKMA), Sarawak, Julai lalu.

Hukuman berbeza dikenakan ke atas kedua-dua pemanah itu iaitu seorang dikenakan hukuman penggantungan selama enam bulan daripada menyertai sebarang kejohanan tempatan serta antarabangsa selain amaran keras.

Sementara seorang lagi dikenakan hukuman lebih keras iaitu penggantungan selama lapan bulan dan amaran keras.

Pemangku Setiausaha Kehormat NAAM, Mejar (B) Amir Suharman Adnan mengumumkan perkara itu pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan kes itu di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Keramat, hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama kedua-dua atlet yang dimaksudkan.

Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) sebelum ini mengumumkan empat atlet yang memenangi pingat di SUKMA Sarawak gagal ujian doping.

Ia membabitkan dua atlet memanah serta masing-masing satu atlet angkat berat serta tinju.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2016 @ 8:00 PM