Keluarga dan wakil PUO membantu mengeluarkan barangan dari rumah yang terbakar.

Ipoh: “Saya nekad naik ke tingkat atas walaupun asap tebal sudah memenuhi bilik demi menyelamatkan komputer bimbit dan barangan peribadi,” kata Nor Siti Aishah Abdul Latiff, 19, penghuni satu daripada sebuah rumah yang terbakar di Taman Cempaka, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, enam rumah teres dua tingkat terbakar menyebabkan beberapa penghuni tinggal sehelai sepinggang.

Pelajar Politeknik Ungku Omar (PUO), berkata, ketika kejadian dia berada di bilik tingkat atas rumah sewanya sedang mengulang kaji pelajaran sebelum terdengar bunyi bising dari rumah jiran.

Menurutnya, seorang rakan serumah yang berada di tingkat bawah ketika itu turut terkejut mendengar bunyi seperti orang berlari turun naik tangga dari rumah berkenaan.

“Saya bersama rakan serumah kemudian keluar untuk melihat apa berlaku dan tidak nampak sebarang kejadian pelik menyebabkan kami masuk semula ke dalam rumah.

“Tidak lama kemudian beberapa jiran lain menjerit memanggil kami keluar dari rumah kerana api mula merebak dengan pantas ke rumah sewa kami,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Katanya, dia yang sudah keluar kemudian teringatkan komputer riba miliknya yang tertinggal di bilik tingkat atas menyebabkannya nekad untuk mengambilnya walaupun asap sudah memenuhi rumah.

Menurutnya, beberapa dokumen penting seperti kad pengenalan dan komputer riba berjaya diselamatkan dan dia bersyukur tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kejadian kebakaran rumah sewanya itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada dirinya yang sedang membuat persiapan untuk menghadapi peperiksaan.

Seorang lagi mangsa, Bacha Kachi Mohamad, 66 berkata, hampir keseluruhan bahagian atas rumahnya musnah akibat kebakaran itu yang menyebabkan kerugian kira-kira RM10,000 selepas beberapa barangan miliknya di tingkat atas terbakar.

“Ketika kejadian, saya bersama isteri dan anak keluar membeli barangan dapur di sebuah pasar raya di Manjoi sebelum dihubungi jiran memaklumkan kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh Zulkefli Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.55 petang sebelum lima jentera digerakkan ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran enam rumah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 7:58 AM