ANTARA laluan yang bakal ditempuhi pelumba pada HMMTB Lukut.
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: “Merentasi laluan kereta api adalah trek yang mencabar dan menarik. Ia pastinya menguji kecekalan dalam perlumbaan.

“Saya harap penyertaan pada sirkit kedua akan memperbaiki rekod lalu,” kata Noorfadila Saidin, 23, pelumba dari Kelab Berbasikal Cyclomotion, Kuala Lumpur yang akan menyertai Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (HMMTB) 2016 di Lukut, di sini pada Sabtu ini.

Noorfadila berkata, dalam HMMTB di Kulim, Kedah baru-baru ini, dia menamatkan perlumbaan di tempat keempat bagi kategori terbuka wanita.

“Saya mengimpikan menaiki podium dan meraih kejuaraan. Apa-apapun saya akan berusaha sehabis baik untuk mengecapi kemenangan,” katanya semalam.

Beliau berpendapat, laluan di Lukut sama seperti di Kulim, bezanya laluan di daerah ini mencabar pada peringkat awal.

“Ini kerana perlumbaan awal memasuki kebun kelapa sawit sebelum merentasi laluan kereta api.

“Cabaran utama adalah pada 10 kilometer terawal kerana perlu melalui kawasan berbukit yang curam. Keadaan akan menjadi sukar jika trek basah akibat hujan,” katanya.

Noorfadila berharap keadaan cuaca baik pada hari kejohanan untuknya meningkatkan kayuhan.

Pengarang Bersekutu Harian Metro, Husain Jahit berkata, semua peserta akan merentasi kayuhan sejauh 46.1 kilometer.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan ‘simulasi trial’ iaitu tinjauan di kawasan perlumbaan, semalam.

Husain berkata, seramai 30 pelumba membabitkan pelbagai pasukan hadir dalam simulasi trial untuk mengenal pasti bentuk jalan dan cabaran bakal ditempuh.

“Simulasi ini penting buat penganjur untuk mengatur perlumbaan termasuk menempatkan pegawai dan pasukan bertugas seperti pihak polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM),” kata pengarah projek HMMTB itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 8:51 AM