Kota Bharu: Hanya sembilan jajahan di Kelantan masih membuka pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 11 pagi tadi dengan Pasir Mas memiliki senarai PPS tertinggi iaitu 32 pusat.

Menurut portal ebanjir Kelantan, Jeli yang mempunyai tiga PPS sebelum ini membabitkan 315 mangsa sudah menutup kesemua pusat pemindahan berkenaan.

Sementara jajahan Pasir Mas menambah 14 lagi PPS untuk menempatkan sejumlah 7,595 mangsa daripada 2,593 keluarga, sekali gus yang tertinggi setakat ini.

Ia diikuti Kuala Krai dengan 2,635 mangsa, Tanah Merah (1,429), Kota Bharu (1,385), Machang (1,301), Tumpat (545), Pasir Puteh (619), Bachok (60) dan Gua Musang (14).

Sementara itu, 20 jalan ditutup lalu lintas dan semua kenderaan termasuk KM11 Pohon Tanjung-Rantau Panjang (Jalan Lama), KM4 Kota Bharu-Pantai Chaya Bulan, KM12 Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu dan KM6 Jalan Kubor China-Temangan, Machang.

Dalam pada itu, Sungai Golok di Rantau Panjang masih berada pada paras bahaya diikuti Sungai Kelantan di Tambatan Diraja, Kota Bharu. Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai kini hanya berada dalam paras amaran, manakala Sungai Semerak di Pasir Puteh sudah kembali normal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 12:08 PM