FUZIAH menerima memorandum bantahan pemandu teksi. FOTO Norizuan Shamsuddin
FUZIAH menerima memorandum bantahan pemandu teksi. FOTO Norizuan Shamsuddin
Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Kira-kira 40 pemandu teksi berkumpul bagi menyerahkan memorandum bantahan terhadap khidmat Uber dan Grabcar di hadapan Parlimen di sini, bermula 10.30 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Kereta Sewa Malaysia Menentang Grabcar dan Uber, Jefri Jaafar Tukeman berkata,memorandum berkenaan diserahkan kepada majlis perwakilan Parlimen bagi menuntut operasi Grabcar dan Uber dalam industri pengangkutan awam di negara ini dikaji semula kelulusan dan pewartaannya.

Katanya, memorandum berkenaan mengandungi 10 perkara di mana pihaknya membantah tentang pendekatan yang hendak diguna pakai oleh kerajaan bagi mewartakan Grabcar dan Uber.

"Kami mendesak supaya Kementerian dan pihak bertanggungjawab mematuhi undang-undang yang mereka bina sendiri sebelum ini terhadap pemandu dan pengusaha teksi.

"Kami juga mendesak kerajaan membatalkan pendaftaran kenderaan persendirian beroperasi sebagai Grabcar dan Uber sehingga satu peraturan dan undang-undang dibentuk dimaktubkan hanya kenderaan yang mempunyai lesen pengendalian pengangkutan awam awam sahaja dibenarkan menggunakan aplikasi yang digunakan oleh mereka sekarang," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Memorandum berkenaan turut diserahkan kepada Ketua Whip PKR di Parlimen, Datuk Johari Abdul dan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 2:41 PM