LELAKI warga Indonesia ditemui di atas Platform Mudah Utara selepas hanyut. FOTO ihsan APMM
Mohd Hanafis Abdul Haris


Batu Pahat: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Batu Pahat menyelamatkan warga Indonesia yang hanyut hampir sembilan jam selepas bot dinaiki karam di perairan di sini, hari ini.

Pengarah Maritim Pangkalan Batu Pahat, Leftenan Komander Maritim Muhammad Zulkarnain Abdullah berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu diselamatkan oleh anggotanya selepas dia ditemui di atas Platform Mudah Utara, kira-kira empat batu nautika dari sini, 9 pagi tadi.

Menurut Muhammad Zulkarnain, kejadian dipercayai berlaku apabila bot dinaiki mangsa bersama empat rakannya karam selepas dipukul ombak besar pada 1 pagi.

"Bagaimanapun empat rakannya diselamatkan oleh kapal perdagangan yang kebetulan melalui kawasan itu manakala mangsa terpisah sehinggalah dia ditemui sembilan jam berikutnya," katanya.

Menurutnya, bot mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Sungai Gutung, Indonesia menuju ke perairan Batu Pahat dan membawa muatan buah kelapa.

"Tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dan cuaca buruk serta keadaan laut bergelora menyebabkan bot berkenaan terbalik sebelum karam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 8:08 PM