NEERA.
Ridzuan Abdul Rahman


Pakej yang ada pada pendatang baru Nurazneera Azizi atau Neera, 18, sememangnya cukup lengkap sekali gus meletakkan namanya sebagai pesaing pelakon wanita sedia ada.

Mempunyai bentuk fizikal tinggi lampai serta raut wajah yang menarik menjadi bonus buat Neera untuk meraih perhatian peminat dan penerbit.

Bagaimanapun, Neera yang kini sudah membintangi beberapa drama antaranya Cik Sayur Encik Seafood, Sayangku Kapten Mukhriz dan Cik Celah Bedah tidak mahu terlalu selesa dengan apa yang dikecapi.

Baginya, bakat memainkan peranan penting dan dia gembira kerana semakin mendapat kepercayaan pelbagai pihak dalam industri lakonan.

“Saya masuk dalam bidang ini kerana minat mendalam tanpa ilmu lakonan formal. Namun ketika di bangku sekolah, saya aktif dalam teater dan aktiviti seni.

“Februari lalu, saya akhirnya memberanikan diri menjalani uji bakat untuk telefilem Cik Sayur Encik Seafood dan alhamdulillah diterima.

“Dari situlah bermulanya karier saya sebagai pelakon sehingga kini. Saya juga tak segan menambah ilmu dengan bertanyakan pelakon senior,” katanya.

Momentumnya dalam lakonan melonjak naik apabila Neera ditawarkan berlakon sebagai Doktor Anisa menerusi drama bersiri Sayangku Kapten Mukhriz.

“Ini antara watak penting dan saya terkejut apabila ditawarkan berlakon. Usia saya masih muda sedangkan watak Doktor Anisa digambarkan berusia 25 tahun.

“Untuk itu, saya ambil insiatif buat rujukan sendiri cara bekerja dan penampilan seorang doktor. Syukur ia berjaya dan ramai penonton boleh terima apa yang ditampilkan,” katanya.

Tidak mahu dituduh kera sumbang, Neera sering bergaul dengan pelakon lain dan kru ketika di lokasi. Seboleh mungkin dia tidak mahu ada cerita negatif yang boleh merosakkan namanya.

“Saya sedar diri dan tiada sebab nak berlagak. Sebagai orang baru, saya sentiasa meletakkan perasaan hormat terhadap orang lain. Lagipun sepanjang saya bekerja setakat ini, belum pernah berdepan dengan pelakon yang sombong. Semuanya memberikan kerjasama yang baik terhadap saya.

“Paling penting, saya sentiasa menjaga disiplin ketika di lokasi agar tak menyusahkan orang lain. Kalau saya buat begitu, yang buruknya nama saya sendiri juga,” katanya.

Menyedari dirinya masih hijau dalam lakonan, Neera mengakui tidak mahu terlalu memilih watak. Dia tidak kisah sekiranya perlu melakonkan watak romantik.

“Saya perlu ambil cabaran untuk buat apa saja watak. Setakat ini saya dah buat pelbagai watak sama ada antagonis mahupun protagonis. Berkenaan babak romantik pula, pada saya kita ada undang-undang dan ia bukanlah keterlaluan. Saya dah pernah buat babak begini dan ia tak melampau,” terangnya.

Hampir 10 bulan bergelar pelakon, Neera mengakui perubahan drastik yang dilaluinya terutama peminat yang mula mengenalinya.

“Selalunya peminat datang minta untuk bergambar. Saya lega setakat ini belum pernah lihat sebarang komen negatif peminat terhadap saya,” katanya yang turut berlakon dalam drama bersiri Patahnya Sebelah Sayap.

Melahirkan perasaannya, Neera mengakui teringin untuk melakonkan karakter wanita psiko pada masa depan bagi mempelbagaikan kemampuannya.

Selain berlakon Neera juga pernah membintangi video muzik Datuk Siti Nurhaliza berjudul Menatap Dalam Mimpi dan Izzmad Harun berjudul Bulan Bintang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 10:53 AM