NOR Akmal bergambar dengan angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor.
NOR Akmal bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed pada majlis perasmian kafe miliknya.
NOR Akmal (tiga dari kiri) dalam satu majlis pertukaran Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (tengah)
NOR Akmal bersama keluarganya.
NOR Akmal melayan penghuni rumah anak yatim ketika mengadakan program singgah sahur.
NOR Akmal ketika mengikuti Misi Bantuan Sukarelawan Belia Pasca Banjir Johor Darul Takzim.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Belia seusianya mungkin baru melangkah ke alam pekerjaan namun tidak bagi Nor Akmal Muhammad, 28, yang jauh ke hadapan kerana sudah mempunyai kafe sendiri, Hijo Cafe n Catering selain menjadi ahli lembaga pengarah Hotel De Angsana, Pusat Perniagaan Uda, Johor Bahru.

Anak bongsu daripada lima beradik ini berkata, apa yang dikecapinya hari ini bukannya mudah kerana dia turut bermula dari bawah walaupun bapanya, Muhammad Muda, 70, berstatus usahawan berjaya.

Menurut Nor, dengan berdikari, dia lebih mengenal erti kepayahan dan cabaran untuk lebih berjaya pada masa akan datang.

Berkongsi lanjut kisahnya, Nor yang mempunyai berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Perundangan Islam dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor berkata, dia memang cenderung terhadap bidang keusahawanan dan menceburinya sejak menuntut di universiti.

“Sebelum bergelar usahawan, saya terlebih dulu menjalankan perkhidmatan kecil-kecilan iaitu sewa kereta dan percetakan.

“Semuanya kerana minat mendalam terhadap bidang keusahawanan dan puas rasanya apabila mendapat wang hasil titik peluh sendiri walaupun hanya untuk suka-suka ketika itu.

“Bermula dari situ, saya terus belajar dan tahu mudah untuk bertapak dalam bidang ini namun pengalaman itu membantu saya bertahan sehingga kini,” katanya yang pernah mengikuti program keusahawanan selama setahun di Jepun pada 2012.

Dalam pada itu, Nor berkata, cabaran dalam perniagaan amat sengit terutama dalam sektor yang diceburinya iaitu industri makanan dan perhotelan.

Bagaimanapun, dia sudah bersiap sedia malah berpegang kepada prinsip ayahnya iaitu tidak sesekali berputus asa dan mencari penyelesaian jika berdepan sebarang masalah.

“Ketika baru menceburi bidang ini, saya mengalami kesukaran untuk meyakinkan pihak bank bagi memberi pinjaman dalam jumlah yang besar.

“Kini, cabaran dihadapi lebih besar kerana banyak perniagaan serupa jadi penting untuk saya terus menjalin hubungan baik dengan pelanggan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya yang bercadang membuka satu lagi cawangan di Bandar Penawar, Kota Tinggi hujung tahun ini.

Dalam kesibukannya menguruskan perniagaan, Nor berkata, dia turut aktif dalam aktiviti kebajikan yang menyasar golongan kurang bernasib baik.

Baginya, aktiviti seperti itu platform terbaik untuk mendekatkan diri dengan masyarakat selain peluang menyumbang semula kepada masyarakat terutama mereka yang memerlukan.

“Sesibuk mana pun, saya akan cuba mencari masa untuk turut serta dalam aktiviti kebajikan.

“Bukan sebab apa tapi puas bila dapat membantu golongan yang memerlukan dan melihat senyuman di wajah mereka.

“Dalam bidang perniagaan pula, saya berhasrat membantu usahawan muda menerusi penganjuran kursus keusahawanan dan pembukaan francais satu hari nanti,” katanya.

INFO

• Pemenang Anugerah Usahawan Muda Terbaik 2012 Peringkat Kebangsaan MARA

• Pemenang Anugerah Inovasi Produk 2015

• Ikon Belia Wanita Johor 2015

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 11:23 AM
Teruskan ke laman Harian Metro »