Oleh Nurul Huda Kosnon


Kuala Lumpur: Pengguna Lebuhraya PLUS yang membayar tol secara elektronik bakal menikmati rebat 20 peratus sempena cuti perayaan Hari Krismas ini.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad Mohammad Fuad Khusairi berkata, semua pengguna kenderaan kelas 1 yang membayar tol menggunakan sistem elektronik iaitu kad PLUSMiles, kad Touch 'n Go dan SmartTAG akan menikmati rebat tol sebanyak 20 peratus itu.

Bagaimanapun, rebat itu tidak diberikan untuk pengguna di Plaza Tol Tanjung Kupang, Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar dan Jambatan Pulau Pinang, katanya.

“Rebat tol ini boleh dinikmati sepanjang hari dan tidak terhad pada tempoh masa tertentu saja.

“Pengguna boleh mendapatkan rebat tol ini apabila menambah nilai kad PLUSMiles atau kad Touch ‘n Go masing-masing bermula pada 15 Februari sehingga 14 Mei 2015 di seluruh pusat khidmat pelanggan di lebuh raya kendalian PLUS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

“Pemberian rebat tol ini adalah satu daripada langkah PLUS meraikan sambutan Krismas. Ia juga sebahagian daripada strategi syarikat untuk melancarkan trafik dan menggalakkan orang ramai bergerak pada hari bukan puncak.

PLUS menjangkakan jumlah trafik akan meningkat sebanyak 15 peratus kepada 1.5 juta kenderaan setiap hari di Lebuhraya PLUS pada musim cuti ini.

“Justeru, kami menggesa orang ramai membuat persediaan menambah nilai kad PLUSMiles atau Touch ’n’ Go lebih awal serta membayar tol secara elektronik sebagai langkah untuk mempercepatkan transaksi tol dan membolehkan orang ramai melalui mana-mana plaza tol dengan mudah dan cepat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 5:51 PM