TERTUDUH (kiri) di Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO Yahya Zainuddin
Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Pemilik kedai telekomunikasi dijatuhi hukuman denda RM40,000 keseluruhan bagi lapan kesalahan gagal mengemukakan penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh ditetapkan bagi Mei hingga Disember 2015 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Wong Kean Yik, 35, pemilik tunggal Sun Yi Telecommunication Trading dikenakan denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan turut berdepan hukuman enam bulan penjara bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda.

Pada 5 Oktober lalu, Kean Yik mengaku bersalah di mahkamah sama selepas lapan pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Bagi semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan itu, dia didakwa gagal mengemukakan penyata GST dari Mei hingga Disember 2015 sebagaimana yang ditetapkan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.

Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 41 (6) akta yang sama dan boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Kean Yik dalam rayuannya memohon mahkamah menangguhkan keputusan kes berkenaan bagi membolehkannya menyediakan wang secukupnya untuk membayar denda dan Hakim Murtazadi Amran menetapkan hari ini sebagai keputusan kes.

Murtazadi berkata, hukuman yang dibuat itu mengambil kira beberapa faktor terutama kepentingan awam di mana jika mana-mana individu gagal mengemukakan penyata cukai akan menyebabkan cukai tidak dibayar dan ini akan mengakibatkan kerajaan tidak dapat hasil cukai untuk digunkan bagi kepentingan awam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2016 @ 12:59 PM