Skip this ad x
ANTARA barang yang turut dirampas. FOTO Muhammad Apendy Issahak
Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Penjenayah yang ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan dengan polis di Tambun di sini, malam tadi mempunyai sembilan rekod jenayah lampau terutama dadah dan sangat dikehendaki.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, dalam kejadian 12.01 tengah malam itu, sepasukan polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah di sekitar bandar raya ini terserempak dengan kereta yang dalam keadaan mencurigakan di Jalan Besar Tanjung Rambutan, di sini.

Menurutnya, pasukan polis kemudian cuba menahan kereta berkenaan namun pemandunya terus memecut kenderaan menuju ke arah Kondominium The Heaven, di sini dan dikejar polis.

"Apabila tiba di Jalan Persiaran Lembah Perpaduan, kereta suspek terbabas ke bahu kiri jalan.

"Polis cuba menghampiri kereta berkenaan tetapi tiba-tiba pemandu kereta keluar dan melepaskan dua das tembakan yang satu daripadanya terkena seorang anggota polis," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

Menurutnya, sarjan berusia 42 tahun dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) IPK Perak itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan kerana peluru kena pada baju kalis peluru dipakai anggota polis berkenaan.

Hasnan berkata, dalam usaha mempertahankan diri polis membalas beberapa das tembakan yang mengenai suspek dan rebah serta mati berhampiran kereta.

"Pemeriksaan mendapati suspek berusia 35 tahun dan berasal dari Perak serta memiliki sembilan rekod jenayah lampau iaitu dadah, curi kenderaan dan pecah rumah.

"Suspek juga dikehendaki bersabit satu kes dadah serta pernah enam kali ditangkap dalam tempoh dua tahun yang lalu atas pelbagai kesalahan jenayah termasuk ugutan dengan senjata api," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi kejadian menemui pistol buatan China, empat peluru hidup dan pisau.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2016 @ 2:15 PM