SEBAHAGIAN pelumba KVPD sudah sedia menggegar podium di Lukut, Port Dickson.
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Sebagai tuan rumah, pasukan Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) Ride Team tidak mengambil mudah cabaran dihadapi dalam kejohanan Harian Metro Mountain Bike (HMMTB) Grand Prix 2016, Sirkit 2 di Lukut, Sabtu ini.

Pengurus pasukan, Mohd Hanif Abdul Rahman berkata, Ride Team ditubuhkan sejak dua tahun lalu dengan pesertanya membabitkan warga pendidik KVPD.

“Bagi menyahut cabaran itu, KVPD menghantar 18 peserta lelaki bertanding dalam semua kategori. Kami mahu memberikan saingan dengan menamatkan perlumbaan dalam kelompok terbaik.

“Sebagai tuan rumah, kami perlu menunjukkan prestasi membanggakan. Moto utama pasukan adalah ‘Ride for Health’, namun ini bukan alasan untuk kami menyerah kalah dengan mudah.

“Setiap ahli giat mempersiapkan diri dengan latihan hampir setiap hari bagi memantapkan stamina dan kekuatan fizikal,” katanya.

Mohd Hanif berkata, kebanyakan latihan dijalankan di sekitar Linggi dan lokasi sebenar bagi membolehkan peserta membiasakan diri terutama pada hari perlumbaan.

“Walaupun sukar mengumpulkan 18 peserta ini kerana terikat dengan pelbagai tugasan, mereka tetap berani menyahut cabaran ini.

“Sasaran utama KVPD adalah semua peserta menamatkan perlumbaan dan memperbaiki kedudukan dalam kelompok 150 peserta terbaik.

“Tidak mustahil beberapa peserta KVPD akan mencuri tumpuan dengan mengintai podium terutama kategori lelaki master dan junior master,” katanya.

Katanya, dalam masa terdekat, mereka akan mengadakan latihan untuk mencari rentak kerana bimbang ditimpa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 6:07 AM