KERETA yang kemalangan ke dalam parit (kiri) dan Mohamad Firdaus (kanan) memangku mangsa sehingga pihak bomba and ambulans tiba. FOTO ihsan saksi
Shamsul Munir Safini


Kepala Batas: Anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) sanggup menggadai nyawa terjun ke dalam parit sedalam 4 meter bagi menyelamatkan nyawa doktor pelatih lelaki yang terlibat dalam kemalangan di Bertam Indah, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 4 pagi itu, tindakan Konstabel Mohamad Firdaus Mat Isa, 25, menyelamatkan nyawa mangsa berusia 22 tahun yang tersepit di dalam kereta yang dimasuki air sedalam 0.7 meter.

Katanya, dia bersama rakannya Konstabel Hairie Rosli, 25, tiba di lokasi kejadian kurang dua minit selepas dimaklumkan bilik gerakan, sebelum melihat doktor pelatih berkenaan tersepit di bahagian pemandu.

"Seorang lagi mangsa perempuan yang juga penumpang kereta berusia 22 tahun sudah dibawa naik orang ramai yang berada di situ, namun mereka tidak berani membawa keluar pemandu kerana bimbang dengan keadaannya yang parah.

"Saya terus terjun ke dalam parit dengan air sehingga paras pinggang saya dan memeriksa keadaan mangsa yang meraung kesakitan meminta tolong kerana mendakwa bahagian pinggangnya patah," katanya.

Mohamad Firdaus berkata, dia masuk melalui tingkap belakang kereta yang pecah sebelum membawa mangsa keluar secara perlahan.

Katanya, dia memangku mangsa di dalam parit selama setengah jam menunggu pihak bomba dan ambulans membawa mangsa naik.

Menurutnya, mangsa dibawa naik pada 4.45 pagi dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) manakala penumpang perempuan yang juga rakan lelaki itu tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Azmi Adam memuji tindakan berani Mohamad Firdaus dan menyifatkan ia tindakan yang harus diambil setiap anggota polis.

"Itu adalah tindakan yang perlu diambil oleh setiap anggota polis untuk menyelamatkan nyawa tanpa mengira keadaan walau pun ianya membahayakan diri sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 7:30 PM