Rozi persoal mengapa jawatankuasa ambil masa panjang buat keputusan. FOTO NSTP
Rozi persoal mengapa jawatankuasa ambil masa panjang buat keputusan. FOTO NSTP
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri berang dan mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi kemenangan percuma kepada Pahang, selepas Kedah didapati bersalah menurunkan pemain yang digantung pada aksi Liga Super, Ogos lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat berkata, keputusan memberikan tiga mata kepada Pahang seperti diumumkan hari ini bakal menutup peluang pasukan bola sepak Terengganu untuk beraksi pada Liga Super musim depan biarpun berjaya mengutip tiga mata pada aksi dengan Pulau Pinang, Sabtu ini.

"Saya dimaklumkan, Pahang membuat bantahan kerana Kedah menurunkan pemain yang digantung beraksi dalam tempoh 72 jam selepas perlawanan pada 3 Ogos lalu, tetapi mengapa jawatankuasa itu mengambil masa panjang iaitu melebihi tiga bulan untuk membuat keputusan.

"Adakah jawatankuasa tatatertib FAM mempunyai agenda tersembunyi untuk menidakkan pasukan Terengganu daripada beraksi dalam Liga Super musim depan," katanya ditemui pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Wanita Peringkat negeri, di sini.

Jawatankuasa Tatatertib FAM yang mengadakan mesyuarat memutuskan Kedah didapati bersalah kerana menurunkan pemain yang digantung ketika bertemu Pahang pada perlawanan Liga Super, 3 Ogos lalu sekali gus membuka peluang skuad Tok Gajah terus beraksi dalam liga super musim depan apabila secara automatik melonjak kedudukan di tangga kelapan dengan 23 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 8:22 PM